PETALING JAYA: Sembilan kenderaan musnah dalam kebakaran di tempat letak kereta di Jalan SS 20/1 di sini hari ini.
Pengarah Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian ada pukul 3.54 petang.
“Susulan itu dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dan BBP Taman Tun Dr. Ismail dikejarkan ke tempat kejadian.
“Ketika tiba di lokasi terdapat sembilan kenderaan terbakar dan kerja-kerja pemadaman dilakukan,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, api berjaya dikawal kira-kira 15 minit kemudian dan siasatan mendapati sembilan kenderaan terbakar 10 hingga 100 peratus.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN