Hakimah Ketua Pengarah Jakim

Selamat bertugas KP baharu Jakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelantikan Datuk Hakimah Mohd. Yusoff sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang baharu mencipta sejarah. Ini kerana apabila buat pertama kali Jakim diterajui oleh wanita, sekali gus meningkatkan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam. 

Semoga pelantikan ini dapat memacu JAKIM ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di peringkat global.

Pelantikan Hakimah adalah bagi Datuk Abdul Aziz Jusoh yang bersara wajib pada 9 November lalu. 

Berikutan itu, hangat diperkatakan oleh netizen tentang pelantikan yang membuka mata dan juga mendatangkan keresahan sebahagian orang yang melihat wanita tidak layak memegang jawatan tertinggi seperti yang berlaku ini. 

Apabila seorang wanita dilantik memegang jawatan tinggi pastinya isu berkaitan wanita dan kepimpinan akan dibangkitkan semula. Pasti akan ada kata-kata yang menyatakan wanita ini lemah dan suka beremosi, maka sebab itu wanita tidak layak untuk menjadi ketua atau pemimpin. 

Inii tidak sepatutnya berlaku dan kita hendaklah membuka minda dan berlapang dada dalam memberi pandangan dan sokongan terhadap wanita yang menceburkan diri dalam kepemimpinan sebuah organisasi atau negara sekalipun.

Di dalam Islam, tidak ada pemisahan antara agama dan negara, agama dan politik atau agama dan kepemimpinan, semuanya satu kesatuan. Sebabnya, hidup kita ini diatur oleh agama dari hal yang paling kecil sehingga kepada hal yang terbesar. Hidup adalah tingkah laku, dan tingkah laku dibatasi oleh norma agama termasuk tingkah laku dalam berpolitik.

Islam  meletakkan  kepimpinan  wanita  di  tempatnya yang ideal. Wanita mengungguli kepimpinan lelaki dari sudut kesungguhan dan daya kemahiran yang tinggi, minat serta kecekalan  pada  sesuatu  tugas  yang  diamanahkan  dan  keupayaan  menyelesaikan  masalah. 

Terdapat kisah yang terakam dalam al-Quran, surah al-Naml ayat 42-44 yang menceritakan tentang kejayaan serta kecemerlangan pemerintahan wanita dan sumbangannya dalam mengembangkan pengaruh dakwah Islam ke daulah Saba’. 

Ratu Balqis telah  menunjukkan  kecekapan  dan  keupayaannya  meneruskan  semangat  perundingan  dan  memutuskan  hukum  yang selayaknya  dengan  aspirasi  rakyat terbanyak.  Kisahnya  terpahat  dalam  al-Quran  sebagai  lambang  kekuatan  dan iltizamnya menjaga kebajikan rakyat dalam mencari kemaslahatan dan perdamaian serta menggembling permuafakatan bagi kepentingan terbanyak. 

Surah   ini   mencerminkan   ketinggian   ideal   dan kesanggupan   Balqis   menggariskan   hala   tuju   politik   dan mempertahankan   maslahat   dan   aspirasi   umum.   Hemah   kepemimpinannya   terserlah   dengan   dasar   yang   berhasil melimpahkan  kebaikan  buat  umat  berkat  kejituan  memikul  urusan  pemerintahan  dan  kebijaksanaannya  menerima dakwah Islam dan seruan ke arah penyatuan dengan kerajaan Sulaiman a.s. 

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Maka ketika dia (Balqis) datang, ditanyakanlah (kepadanya), “Serupa inikah singgahsanamu?” Dia (Balqis) menjawab, “Seakan-akan itulah dia.” (Dan dia Balqis berkata), “Kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelumnya dan kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).” (an-Naml: 42) Dan kebiasaannya menyembah selain Allah mencegahnya (untuk melahirkan keislamannya), sesungguhnya dia (Balqis) dahulu termasuk orang-orang kafir. 

Dalam Tafsir Ibn Kathir dikupas mafhum dari penceritaan ayat ini yang menzahirkan hikmah Balqis: “Ratu Balqis  berakal  cerdik  dan  teliti.  Dia  juga  orangnya  pandai,  berwibawa  dan  tegas.  Maka  dia  tidak  berani  tergesa-gesa memutuskan bahawa itu adalah singgahsananya, mengenangkan jarak perjalanan yang sangat jauh (antara Yaman dengan Baitulmaqdis).”

Masih banyak kisah lain di dalam al-Quran  yang  menonjolkan  ketokohan  serta  kewibawaan  wanita dalam  membawa  pembangunan  yang  bererti,  untuk  dijadikan  buah  renungan  oleh  para  pemimpin  dalam  mempelajari kecekalan wanita yang tinggi dalam membangun bangsa yang dinamik, berkat kesanggupan mereka untuk berdiri di garis depan dalam mendepani kemelut dan cabaran.

Di  medan  jihad  Islam  turut  menetapkan  peranan  yang  penting  bagi  wanita.  Malah  pada  zaman  Nabi  SAW.,  kaum muslimat  turut  sama  di  kancah  perang,  berdiri  di  belakang  barisan  pertempuran  untuk  merawat  pejuang  Islam  dan membantu membawa makanan dan air. 

Dalam sebuah athar dari riwayat Ummu ‘Atiyah r.a. dinyatakan: Saya telah menyertai  Rasulullah SAW dalam  tujuh  siri  peperangan.  Ketika  angkatan  perang  bergerak,  saya  berada  di  barisan belakang. Saya bertugas menyediakan makanan, merawat perajurit yang cedera, dan menjaga yang sakit. (Riwayat. Muslim)

Ini  mencerminkan semangat juang dan dukungan wanita  yang turut dilibatkan sebagai  jentera utama negara untuk mempertahankan kedaulatan Madinah. Rasulullah SAW Juga pernah mendoakan agar Ummu Haram r.ha., isteri kepada ‘Ubadah bin Shamit r.a., dapat keluar meredah lautan untuk berperang bersama kaum muslimin. (Riwayat. Muslim)

Ini  menunjukkan  pengiktirafan  Islam  terhadap  kaum  wanita  untuk  ikut  berjihad  dan  menyumbangkan  tenaga  di  luar rumah.  Dalam  suatu  ketika  kaum  wanita  turut  dibekalkan  senjata  dan  bersiap  siaga  di  belakang  barisan  perang  untuk memerangi kaum munafik yang mundur dan mencari helah untuk berpaling daripada medan perang. 

Dalam tradisi Islam para  muslimat  menjadi  panutan  yang  terbaik  dalam  daya  juang  yang  ditunjukkan  buat  mempertahankan  ágama  dan maruah Islam. Mereka rela bersabung nyawa memburu syahid dan bertarung di kancah perang yang berkecamuk demi mempertahankan  kesucian  Islam  dan  menegakkan  syiarnya,  seperti  Khaulah  binti  al-Azwar  dalam  penggempuran  di Damsyik dan Ajnadain di zaman Khalifah Abu Bakar (13 H.)

Keyakinan dan semangat juang yang  tinggi  inilah  yang  meniupkan  roh  jihad  dalam kalangan  barisan  tempur  dan  menyemarak  serta  membakar  semangat juang mereka dan seterusnya meraih syahid sebagai pahlawan Islam yang sebenar.

Kepemimpinan wanita turut terserlah di gelanggang politik. Wanita turut aktif sebagai wakil rakyat yang mewakili hasrat dan suara umum. Ketika ini dalam sistem dan amalan demokrasi, wanita memenuhi hampir sepertiga kerusi parlimen dan gigih menyuarakan hasrat masyarakat terbanyak dan kehendak serta aspirasi umum. Mereka cekal mempertahankan dan membela nasib rakyat miskin dan massa yang tertindas. 

Menurut Abul A’la Mawdudi, wanita harus dilibatkan dalam urusan  politik  dan  negara  yang kritikal.  Ini  diketengahkan  dalam  tulisannya  yang  merumuskan  tentang  isu-isu kepimpinan dan pemerkasaan wanita, seperti dirumuskan oleh Kausar: Mawdudi  tidak  pernah  merasakan  bahawa  wanita  harus  memberi  perhatian  sepenuhnya  pada  tanggung  jawab rumah tangga sehari-hari sehingga mereka melupakan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat, bangsa, umat Islam, dan kemanusiaan secara keseluruhan. 

Beliau sering  menegaskan  bahawa seyogianya wanita Muslim  memperuntukkan sebahagian   waktu   dan  tenaga   mereka,   setelah   menyempurnakan   tanggungjawab   asas   keluarga   mereka   untuk menumpukan  diri  kepada  kerja-kerja  dakwah  bagi  memerangi  bentuk-bentuk  jahiliah  yang  lama  dan  moden,  dan mempergunakan hak politik mereka untuk menegakkan Islam sepenuhnya.

Kita wajar melihat setiap sudut yang diketengahkan oleh para fuqaha berhubung kepemimpinan wanita dalam menilai corak  dan  tujuan-tujuan  kepemimpinan  yang  tertinggi  yang  menjadi  kemaslahatan  umat  keseluruhannya.  Kepimpinan wanita adalah yang mengatasi soal pemerintahan bernegara kerana ia mencakup hal paling mendasar terkait asas pembentukan keluarga. 

Bagaimanapun aspirasi Islam memperluaskan ruang lingkupnya kepada bidang kepemimpinan yang  lain,  dalam  batas  kesanggupan  mereka  yang  merangkumi  bidang  pendidikan,  politik,  keluarga  dan  masyarakat. Selayaknya penyerahan mandat kepemimpinan ini adalah bagi mencapai matlamat tertinggi syariah yang menjurus kepada jaminan kemaslahatan umum dan mengangkat nilai karamah insaniah dan ciri-ciri manusiawi yang hakiki yang menjadi tonggak dan dasar kepemimpinan yang dicita-citakan Islam.

Di zaman Rasulullah SAW, walaupun wanita tidak memegang tampuk kepemimpinan,  mereka adalah golongan pertama yang memberi ketaatan dan baiah dengan membenarkan kenabian Muhammad SAW iaitu isteri baginda, Saidatina Khadijah.

Di samping itu, wanita juga tidak asing dalam pembuatan keputusan oleh Nabi SAW kerana mereka turut sama memberi pandangan seperti yang berkaitan dengan kedudukan mereka dalam peperangan. Begitu juga yang berlaku semasa pemerintahan Saidina Umar al-Khattab di mana wanita berperanan dalam penentuan keputusan dan hukum seperti dalam aspek penentuan kadar mahar dan tempoh lama wanita boleh bersabar apabila ditinggal suami.

Sebahagian daripada wanita Islam kini mendapat pendidikan tinggi sehingga memiliki ijazah, pekerjaan dan pangkat yang baik, lalu tidak lagi memainkan peranan yang serius dalam kebangkitan semula Islam.

Jika Islam terpaksa berhadapan dengan orang yang jahil dan degil di dalam masyarakat jahiliah di masa dahulu, kini Islam terpaksa pula menghadapi cendekiawan barat termasuklah para orientalis yang mengkaji Islam dan berusaha untuk mengelirukan masyarakat tentang Islam. 

Mereka pernah mempertikaikan jika terlaksananya dasar pemerintahan Islam dalam sesebuah negara, maka kaum wanita tidak bebas bergerak. Justeru, wanita Islam pada masa kini perlu berani dan bangkit serta memainkan peranan untuk mempertahankan kesucian Islam dari terus dieksploitasi oleh musuh-musuh Islam. Wanita yang memiliki kebolehan dan kebijaksanaan perlu turut sama melibatkan diri dalam kepemimpinan negara dalam member pandangan dan idea-idea yang bernas.

Oleh yang demikian, peranan kaum wanita amatlah besar dalam sama-sama berganding bahu dengan kaum lelaki dalam pembangunan masyarakat dan negara. Rasanya tidak lengkap sekiranya tugas pembangunan sosial dan negara hanya disandarkan di bahu kaum Adam kerana maksud pembangunan itu sendiri adalah amat luas. 

Pembangunan sesebuah negara itu bukanlah hanya semata-mata merujuk pada pembangunan ekonomi tetapi meliputi pembangunan dari segi sosial, sahsiah dan perpaduan ummah. Untuk itu, pembangunan dari unsur-unsur yang melibatkan faktor-faktor sosial memerlukan tindakan dan perjuangan yang lebih berani dari kaum wanita.

Yang jelas banyak ayat al-Qur’an dan teks-teks hadis yang menyatakan kelayakan penuh (al-ahliyah al-tammah) perempuan, sama seperti laki-laki. Ketika ini menjadi dasar, maka tidak menjadi penting apakah ada fakta atau tidak di masa lalu. Ini kerana tidak semua kebaikan ada dan wujud pada masa lalu. 

Apalagi kenyataan sosial saat itu (sebelum Islam) sangat merendahkan perempuan, sehingga untuk melakukan perubahan dan perbaikan diperlukan waktu yang cukup, tidak serta merta. Dalam metodologi Usul Fiqh ada pernyataan: “Sesuatu yang ditinggalkan bukan merupakan dasar untuk menyatakan negatif atau positif terhadapnya” (al-tarku laysa bi-hujjah). 

Sehingga ketika Nabi SAW juga tidak pernah menyerahkan kepemimpinan kepada orang selain dari suku Quraisy, para sahabat juga demikian dan juga tabi’en. Bahkan sepanjang sejarah Islam klasik, tidak menjadikan hal itu sebagai dasar hukum untuk menyatakan bahwa Islam hanya memperkenankan kepemimpinan politik kepada orang suku Quraisy saja. 

Ini secara tegas dinyatakan oleh Ibn Khaldun dalam kitab Muqaddimah. Hal yang sama harusnya juga berlaku untuk kepemimpinan perempuan. Perempuan tak bisa dilarang menjadi pemimpin hanya karena hal itu tidak terjadi pada zaman Nabi Saw.

Ada pernyataan yang cukup baik dari seorang ulama klasik Ibn al-Qayyim al-Jawzi, Berbicara kepemimpinan politik, baik dari laki-laki maupun perempuan, adalah berbicara mengenai kemaslahatan dan kebaikan orang banyak. 

Kata Ibn al-Qayyim: “Politik, (yang direstui Islam), adalah yang benar-benar mendatangkan kemaslahatan bagi manusia dan menjauhkan kerusakan dari mereka, sekalipun ia tidak dilakukan oleh Nabi SAW dan tidak diturunkan dalam teks-teks wahyu”. Sehingga, ukuran untuk mendukung atau menolak kepemimpinan seseorang, bukan karena jenis kelamin lelaki atau perempuan. Tetapi atas dasar kemampuannya, sejauh mana ia bisa mendatangkan kemaslahatan, atau kerusakan kepada masyarakat.

Justeru, kepimpinan wanita dilihat sebagai suatu yang perlu dan diharuskan dalam Islam selagi menepati batas-batas yang ditetapkan dalam syariat. Penglibatan wanita dalam sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semakin berkembang dan ia dilihat mampu memberi sumbangan terhadap usaha dakwah sekaligus mampu membangukan masyarakat dan negara.

  • Mohd Shauki Abd. Majid, Setiausaha Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya