KEMAMAN: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai di sini akan tetap diteruskan walaupun sebahagian sekolah berkenaan dinaiki air banjir lebih satu meter.
Pegawai Pendidikan Daerah, Idris Bidin berkata, keputusan itu dibuat memandangkan dewan peperiksaan tidak terjejas bah berikutan terletak di lokasi lebih tinggi berbanding bangunan lain.
“Insya-Allah, seramai 193 calon SPM akan menduduki peperiksaan di dewan sekolah itu.
“Ketika ini, seramai 57 calon tinggal di asrama manakala selebihnya di rumah masing-masing dan kita akan mengumpulkan mereka seawal pukul 6.45 pagi untuk menaiki trak pasukan penyelamat jika laluan masuk ke dewan peperiksaan masih ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Idris berkata, calon SPM di SMK Bukit Mentok juga akan dibawa pasukan penyelamat menggunakan trak berikutan laluan ke sekolah itu banjir.
Katanya, pelajar terlibat sudah dikenal pasti dan dimaklumkan mengenai urusan itu. – UTUSAN