Segera dapatkan dos penggalak

Segera dapatkan dos penggalak

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Penduduk negeri ini disaran tampil mengambil suntikan dos penggalak dengan segera memandangkan hanya 72.7 peratus iaitu 993,432 individu didapati mendapatkan suntikan berkenaan setakat ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dengan gelombang jangkitan Omicron dilalui Pulau Pinang pada masa ini, vaksinasi adalah jalan terbaik bagi mengelakkan seseorang yang dijangkiti mengalami simptom teruk dan kes kematian di rumah (BID).

Katanya, data Jabatan Kesihatan negeri (JKNPP) sehingga semalam menunjukkan daripada 1.77 juta keseluruhan populasi negeri ini, peratus pencapaian suntikan vaksin untuk dos pertama adalah 90 peratus; dos kedua (86.2 peratus) dan hanya 72.7 peratus bagi dos penggalak. 

“Data Kementerian Kesihatan (KKM) bagi seluruh negara menerusi Mesyuarat Menteri bersama-sama Exco-exco Kesihatan semalam menunjukkan sebanyak 91 peratus kes BID tidak mengetahui mereka dijangkiti wabak Covid-19. Daripada jumlah tersebut, hanya sembilan peratus yang menerima suntikan ‘booster’, selebihnya adalah tanpa atau tidak mengambil suntikan ‘ketiga’ yang disyaratkan berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Kon Yeow, ibu bapa atau penjaga turut diseru supaya mendaftarkan anak berusia lima  tahun hingga 11 tahun di bawah jagaan masing-masing bagi mendapatkan suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids). 

“Bagi tempoh sama, daripada data keseluruhan 155,600 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negeri ini, sebanyak 50 peratus masih belum mendaftar di bawah PICKids,” katanya. 

Tambah beliau, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang Pengurusan Covid-19 yang berlangsung semalam turut berkongsi pecahan prestasi PICKids mengikut sekolah berdaftar di bawah Jabatan Pendidikan negeri iaitu sebanyak 19.6 peratus kanak-kanak di sekolah kebangsaan (SK) telah mendapatkan vaksin. 

“Bagi sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) sebanyak 81.0 peratus kanak-kanak telah menerima vaskin Covid-19 ; sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT) 15.8 peratus dan sekolah agama (16.4 peratus),” katanya. 

Kon Yeow berkata, secara keseluruhan JKNPP memaklumkan bahawa situasi serta kelengkapan perubatan negeri ini masih berada dalam keadaan terkawal. 

Malah ujar beliau, hasil usahasama Kerajaan Negeri, JKNPP dan agensi-agensi berkaitan, pelan-pelan serta kelengkapan kontijensi berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan. 

“Jangan tunggu dan berlengah sekiranya anda berasakan mempunyai simptom-simptom tidak sihat. Segera jalani ujian saringan kendiri dan pesakit boleh walk-in di kelima-lima Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) JKNPP atau hubungi talian Hotline, 04-3827143/04-3827142 bagi maklumat lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya