Seekor lagi buaya dikesan dalam parit di ladang sawit di Kuala Kurau

Seekor lagi buaya dikesan dalam parit di ladang sawit di Kuala Kurau

TANGKAP layar buaya dalam parit di ladang kelapa sawit yang menyambar umpan pancing seorang pemancing di Kerian, Parit Buntar, Perak. - FOTO/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Selepas tular bulan lalu video seekor buaya ditemukan dalam parit di ladang sawit di Kuala Kurau, seekor lagi reptilia itu dikesan di parit yang sama.

Ini berikutan tular sebuah klip video rakaman seekor buaya bersaiz besar yang cuba menyambar umpan pancing seorang kaki pancing di parit itu.

Kejadian itu dikatakan berlaku di lokasi yang sama haiwan itu ditemukan sebelum ini dan dipercayai buaya dalam rakaman video itu adalah reptilia kedua yang menghuni parit yang sama.

Difahamkan, video haiwan itu menyambar umpan pancing dirakam dua hari yang lalu dan dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook semalam.

Kata individu yang merakam video itu, dia memuat naik video rakaman itu supaya kaki pancing di Daerah Kerian berhati-hati ketika memancing berikutan kehadiran haiwan itu.

Menceritakan detik sebelum umpan pancingnya disambar buaya, katanya, dia bersama dua rakannya pergi memancing di parit itu tanpa mengetahui terdapat reptilia itu di situ.

“Kami memang tak sangka ada reptilia itu dalam parit ini. Setelah dapat tangkapan ikan toman yang ketiga, baru kami sedar ada buaya dalam parit. Pada mulanya kami ingatkan pelepah sawit yang timbul di permukaan air, memang tak sangka itu buaya.

“Selepas tahu ada buaya, kami bertiga terus beredar dari kawasan itu ” katanya.

Menurutnya, terdahulu sebelum sampai di parit tersebut, mereka berselisih dengan beberapa penduduk yang menasihatkan agar mereka berhati-hati.

Katanya, mereka dinasihatkan agar tidak pergi ke kawasan parit yang viral sang bedal dibuli oleh sekumpulan lelaki pada bulan lalu.

“Ada penduduk beritahu di kawasan itu terdapat dua ekor buaya. Seekor yang kami jumpa dua hari lalu manakala seekor lagi bersaiz besar yang viral di media sosial bulan lalu. Nasihat saya kepada kaki pancing yang datang ke sini supaya lebih berhati-hati dan waspada ketika memancing di sungai di daerah Kerian ini,” katanya.

Bulan lalu, tular rakaman video beberapa lelaki ‘membuli’ seekor buaya di dalam parit kebun sawit yang dikatakan berlaku di Kuala Kurau.

Video itu merakamkan beberapa lelaki dengan salah seorang daripadanya menggunakan sebatang pelepah sawit mengocak permukaan air bagi menarik perhatian seekor buaya di dalam parit tersebut.

Tindakan itu mendapat reaksi ‘raja sungai’ itu yang menampakkan diri hingga merangkak naik ke tepi tebing parit, menyebabkan kumpulan lelaki itu mengundurkan diri ke belakang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya