KLUANG: “Saudara, tak mengapa, kita sudah berjuang sehabis baik dan akan teruskan perjuangan ini. Saya yakin, kita akan kembali lebih kuat, insya-Allah,” kata Sheikh Omar Bagharib Ali.
Calon Pakatan Harapan (PH) Paloh itu yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu meraih 4,901 undi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Lee Ting Han yang memperoleh sebanyak 8,077 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.
Sheikh Omar berkata, terdapat banyak faktor kekalahan tetapi beliau tetap menerimanya dengan reda dan berlapang dada.
“Maka berakhirlah PRN Johor pada malam tadi. Adat pertandingan, ada kalah dan menang. Saya tak berjaya mengekalkan kemenangan PH di kerusi DUN Paloh ini.
“Ramai yang menelefon saya sejak malam tadi, menyatakan rasa hiba dan sedikit kecewa. Tak kurang juga yang menangis, sedih katanya. Saya faham, kita telah melalui pahit manis ini bersama. Kita semua ibarat satu keluarga.
“Seperti selalu saya katakan, saya tak anggap diri saya sebagai ‘seorang YB’ sepanjang berkhidmat untuk Paloh. Saya adalah sebahagian daripada anda semua, keluarga besar Paloh,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Sementara itu, Sheikh Omar menghargai dan berterima kasih terhadap semua penyokong dan mereka yang setia dengan perjuangan PH di Paloh sehingga ke saat akhir.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada para pengundi yang telah tunaikan kewajipan semalam termasuk dari luar Johor kerana telah berkorban masa dan tenaga. Terima kasih ibu ayah, anak isteri dan seluruh ahli keluarga yang sentiasa bersama saya saat susah dan senang.
“Terima kasih juga kepada rakan-rakan pimpinan serta ahli parti dari luar Johor yang turun berkampung di Paloh untuk membantu saya dan seluruh jentera pilihan raya di sini. Tuhan sahaja layak membalas jasa kalian,” katanya.- UTUSAN