Saya bukan hendak selamatkan saksi - Sri Ram

Saya bukan hendak selamatkan saksi – Sri Ram

GOPAL SRI RAM (kiri) MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ‘Pertikaman lidah’ antara bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan peguam bela senior, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berterusan sehingga terpaksa ditenangkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Keadaan tersebut timbul apabila Muhammad Shafee masih lagi meneruskan cara menyoal balas saksi pendakwaan ke-13, bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail berkaitan dengan perjanjian Murabaha yang diterbitkan oleh syarikat tersebut.

Sri Ram mengemukakan bantahan tersebut atas dakwaan soalan-soalan yang ditanyakan tidak relevan.

Muhammad Shafee: Jangan potong cakap saksi, biarkan dia jawab soalan. Tak perlu nak selamatkan saksi.

Sri Ram: Saya bukan nak selamatkan saksi, saya cuma hendak jimatkan masa mahkamah daripada soalan-soalan yang tidak relevan.

Hakim Sequerah: Jika awak (Muhammad Shafee) ingin saksi membuat inferens saya rasa saksi tidak boleh berbuat demikian. Saya rasa boleh masukkan isu tersebut dalam hujahan nanti.

Muhammad Shafee: Saksi boleh menjawab soalan berdasarkan fakta dan bukti yang ditunjukkan kepadanya, ini penting.

Hakim Sequerah: Kalau begitu, biar saksi jawab.

Menjawab soalan lanjut daripada peguam bela, Ismee menyatakan, pada ketika ini selepas ditunjukkan dengan pelbagai dokumen, beliau merasakan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB telah dikelirukan oleh pihak pengurusan yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Sebelum ini saya pernah menyatakan dalam keterangan saya di mahkamah ini bahawa Ahli Lembaga Pengarah (1MDB) telah dipergunakan. Dengan bukti-bukti yang ditunjukkan, saya boleh katakan sebenarnya Ahli Lembaga Pengarah telah dikelirukan,”katanya.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh seorang lagi peguam bela Najib, Datuk Hariharan Tara Singh, Ismee bersetuju dengan cadangan bahawa pemerolehan pengeluar tenaga bebas oleh 1MDB iaitu Mastika Lagenda Sdn. Bhd. adalah untuk kepentingan negara.

Hariharan: Adakah pemerolehan ini untuk kepentingan Najib?

Ismee: Ia adalah untuk kepentingan Malaysia.

Ismee turut bersetuju dengan cadangan bahawa projek daripada kerjasama bertujuan untuk kepentingan dan keuntungan 1MDB sejajar dengan hasrat syarikat untuk menjalinkan kerjasama antara kerajaan (G2G).

Najib, 68, kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan bersambung 4 April ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya