PETALING JAYA: Hanya satu prosedur operasi standard (SOP) dan sembilan garis panduan yang perlu dipatuhi rakyat apabila peralihan fasa endemik yang berkuat kuasa 1 April ini.
Pengerusi Menteri Kuartet Covid-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelaksanaan tersebut penting dalam usaha negara menuju kehidupan yang hampir normal.
“Biarpun hanya ada satu SOP, kita masih menguatkuasakan SOP berkenaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Menerusi SOP ini, terdapat 10 keperluan yang perlu dipatuhi.
“Kesemua 10 keperluan ini sudah biasa diamalkan oleh orang ramai dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). Atas sebab itu, saya percaya setiap lapisan masyarakat boleh terus melaksanakannya dengan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Berikut SOP dan garis panduan yang dilaksanakan:
1. Memakai pelitup muka ketika di tempat awam.
2. Waktu operasi mengikut lesen/permit.
3. Menjaga kebersihan tangan.
4. Melakukan ujian pengesanan Covid-19 berdasarkan National Testing Strategy.
5. Menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan.
6. Menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan.
7. Memastikan penjarakan fizikal satu meter.
8. Memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik.
9. Memastikan kebersihan premis.
10. Mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, ia dibangunkan bagi membantu rakyat membuat pilihan lebih selamat ketika menjalankan aktiviti harian demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling.
“Sembilan garis panduan ini tidak akan dikuatkuasakan, sebaliknya menjadi garis panduan yang amat digalakkan untuk dipatuhi supaya rakyat dapat kekal berwaspada dengan risiko jangkitan Covid-19 apabila melakukan aktiviti tertentu,” jelasnya. – UTUSAN