Sasar lahir 3,000 huffaz muda setiap tahun menjelang 2025 - Utusan Malaysia

Sasar lahir 3,000 huffaz muda setiap tahun menjelang 2025

SYAHIR Sulaiman bersama dua anaknya Muhammad Al-Fatih dan Muhammad Al-Amin yang berjaya menghafal al-Quran dalam tempoh kurang setahun dalam Majlis Graduasi Ke-3 Akademi Al-Quran Amalillah (Akmal) di Stadium Tertutup Gong Badak di Kuala Nerus, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pusat pengajian tahfiz berkonsepkan modul laluan pantas dalam tempoh 365 hari, Akademi Al-Quran Amalillah (Akmal) menyasarkan untuk melahirkan 3,000 golongan huffaz muda setiap tahun menjelang 2025.

Pengerusinya, Hussin Ismail berkata, sasaran itu mampu dicapai dengan penglibatan pelajar tempatan di samping luar negara termasuk dari Turki, Afrika dan  Filipina.

Katanya, Akmal yang beroperasi sejak 2018 di Bukit Payung, Marang di sini kini memiliki tiga cawangan lain iaitu di Shah Alam dan Bukit Beruntung di Selangor diikuti di Batu Pahat (Johor).

“Sehingga kini kita berjaya melahirkan keseluruhan 246 huffaz yang berusia dari 10 tahun hingga 15 tahun dengan terbaharu seramai 96 orang lagi berjaya menamatkan pengajian dan menghafal al-Quran dalam tempoh 365 hari.

“Kita masih berusaha untuk mencapai sasaran 3,000 huffaz menjelang 2025 memandangkan aktiviti pengajian sebelum ini tergendala selama dua tahun disebabkan Covid-19,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Graduasi Ke-3 di Stadium Tertutup Gong Badak disini, baru-baru ini.

Hussin berkata, cawangan baharu Akmal di Bukit Changgang, Banting, Selangor yang dibangunkan daripada dana wakaf bakal beroperasi Jun depan dengan kapasiti 200 pelajar dan turut merancang melebarkan sayap ke Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya, pengajian di Akmal bermula dari usia 10 hingga 15 tahun dengan menggunakan modul khas yang menggabungkan sistem hafalan, motivasi harian di samping kaedah pengurusan psikologi bagi memastikan pelajar berjaya bergelar huffaz dalam tempoh 365 hari.

Sementara itu, seorang bapa, Syahir Sulaiman bersyukur dua anaknya, Muhammad Al-Fatih, 13, dan Muhammad Al-Amin, 11, berjaya menghafal al-Quran dalam tempoh 11 dan 10 bulan menuntut di Akmal Shah Alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya