Sarawak wajar terima agihan belanjawan dan kerusi Parlimen lebih seimbang

Sarawak wajar terima agihan belanjawan dan kerusi Parlimen lebih seimbang

WILLIE HENRY MAJNG dan EDWARD AWAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah digesa agar terus membahaskan tuntutan komposisi satu pertiga kerusi Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat seperti yang termaktub semasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pengasas Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS), Wellie Henry Majang berkata, tuntutan itu wajar bagi mengembalikan hak berkenaan yang terhakis semasa Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965.

“Ini adalah “safeguard” yang telah dipersetujui sejak dalam perundingan penubuhan Malaysia lagi, dan memang ini merupakan komposisi yang telah termaktub di dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang menyatakan bahawa dahulu sebelum Singapura keluar dari Malaysia, komposisi kita sepatutnya satu pertiga di dalam Parlimen.

“Kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata dengan Semenanjung perlu diterjemahkan melalui peruntukan perbelanjaan dan agihan kerusi Parlimen yang lebih adil dan seimbang berbanding sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Henry lagi, berdasarkan situasi ketika ini, agihan peruntukan diterima Sarawak dan daripada Kerajaan Persekutuan, tidak menggambarkan nilai yang adil.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) peruntukan berjumlah RM4.47 bilion telah diagihkan untuk Sarawak, dan daripada peruntukan tersebut hanyalah 6.8 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan negara di bawah RMK-12.

“Peruntukan tersebut disifatkan rendah berbanding dengan keperluan negeri ini untuk mempercepatkan serta merapatkan jurang pembangunan,” ujar beliau.

Justeru, kata Henry peruntukan dibawah RMK-12 ini jelas tidak mencerminkan keperluan Sarawak dengan mengambil kira keluasan geografi, tahap pembangunannya serta statusnya sebagai rakan kongsi pembentukan Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Presiden DTTAS Edward Awan percaya, bukan ini dijangkakan oleh pemimpin kita yang terdahulu kira-kira 59 tahun lalu ketika sebuah negara dipanggil Malaysia dibentuk pada 16 September 1963.

“Jika tidak, apa gunanya kita menjadi sebahagian daripadanya.

“Namun, yang juga sama penting ialah memastikan agihan kerusi Parlimen seimbang dikalangan tiga wilayah yakni Semenanjung, Sabah dan Sarawak berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963,” tegas beliau.

Malah, beliau turut menambah komposisi Dewan Rakyat di Malaysia terdiri daripada 222 kerusi Ahli Parlimen melibatkan 166 kerusi di Semenanjung Malaysia, 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.

“Ini bermakna Semenanjung sendiri boleh mendapatkan jumlah dua pertiga majoriti kerusi yakni sekurang-kurangnya 148. Ini bertentangan dengan MA63.

“Perkara ini amat penting dalam usaha melindungi hak-hak keistimewaan dan pengiktirafan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia,” jelas Edward.

Oleh itu, DTTAS yakin pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak akan memberi manfaat kepada rakyat terutamanya dalam memperoleh perkhidmatan lebih cekap dan berkesan, terutamanya dari aspek pembangunan di luar bandar.

Apatah lagi Sarawak adalah penyumbang terbesar hasil pendapatan negara, justeru rakyat di negeri ini berhak untuk menikmatinya bersama.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya