Sambutan Hari polis 215 disambut ringkas ikut SOP

Sambutan Hari polis 215 disambut ringkas ikut SOP

Ismail Sabri (tengah) , Hamzah Zainuddin (kiri) dan Acry Sany Abdullah Sany pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di ibu negara hari ini.- sumber Pejabat Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Acara Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 yang diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di ibu negara  hari ini, disambut secara ringkas dan sederhana mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya.

Sambutan dimulakan dengan pasukan kawalan kehormatan masuk ke dalam medan perbarisan sebelum panji-panji utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarak masuk mengambil tempat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir sebagai tetamu kehormat utama dalam sambutan kali ini yang mengekalkan tema sama ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Perdana Menteri kemudian memeriksa perbarisan dengan menaiki kenderaan istiadat sebelum acara dilengkapkan dengan perbarisan lintas hormat 102 anggota kawalan kehormatan utama dari Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) PDRM. 

Perbarisan diketuai Deputi Superintendan Mohd Zulfadly Zulkifli dibantu Asisten Superintendan Mohd Shafiq Ghazali  bersama pegawai pembawa panji-panji, Inspektor Mohd Farid Mohd Anuar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam ucapannya berkata seluruh warga PDRM  memperbaharui sumpah taat setia kepada Raja dan negara, serta berikrar untuk memastikan keselamatan rakyat serta kedaulatan negara, terus terpelihara sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 hari ini.

“Seluruh warga PDRM akan melaksanakan tugas secara profesional dan terus memperkasakan integriti  demi mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Seluruh warga PDRM sentiasa ‘Sedia Berkhidmat’ dan berdiri teguh di bawah naungan panji Sang Saka Biru untuk memikul tanggungjawab dan amanah bagi memelihara keselamatan masyarakat dan keamanan negara” katanya.

Katanya, selari dengan kehendak Akta Polis 1967, PDRM akan terus komited dalam mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam negara.  

“Dalam usaha memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan pasukan, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah meluluskan perolehan aset dan peralatan seiring dengan kemajuan teknologi terkini kepolisan moden. 

“Saya mewakili PDRM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan dan KDN yang amat prihatin akan keperluan PDRM,” jelasnya.

Di samping itu, katanya kerajaan juga  memperuntukkan dana yang besar untuk kebajikan, keselesaan dan kesejahteraan warga PDRM yang berkhidmat serta seisi keluarga dan para pesara polis.

Pada majlis itu juga, Hamzah turut menyampaikan sijil Anugerah Integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada pegawai, anggota polis serta kakitangan awam yang diperakui menunjukkan pencapaian integriti di tahap terbaik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya