PETALING JAYA: Komitmen ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai punca masalah Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti masih belum dapat dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Hal itu sedangkan, di pihak pembangkang Pakatan Harapan (PH), tidak mempunyai sebarang masalah atau halangan untuk rang undang-undang itu dibentang kerana telah menjadi agenda utama mereka sejak memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menunjukkan komitmen penuh dalam usaha menggubal rang undang-undang itu.
Bagaimanapun, jelasnya, disebabkan sikap ahli Parlimen kerajaan sendiri menangguhkan pembentangan atas alasan sebelum ini majoriti terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, menyebabkan rang undang-undang anti lompat parti tidak dilaksanakan.
“Kerajaan harus membuktikan komitmen membentang rang undang-undang ini, saya faham pindaan Perlembagaan memerlukan suara dua pertiga dewam, kalau kurang keyakinan mendapat sokongan ahli Parlimen kerajaan sendiri susah juga.
“Kami pembangkang tiada masalah pun mendengar pembentangannya. Saya berpandangan, kenyataan Wan Junaidi sebelum ini mengenai perlu libat urus, secara tersiratnya, beliau tidak sebut libat urus bersama PH. Maksudnya, kami tiada masalah. Parti politik kerajaan sendiri yang bermasalah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengingatkan kerajaan bahawa MoU akan terbatal jika RUU Anti Lompat Parti tidak dibawa ke Parlimen. Bacaan kali pertama RUU Anti Lompat Parti dijadualkan Isnin lalu manakala bacaan kali kedua pula hari ini.
Pada 18 Mac lalu, Wan Junaidi berkata, Kabinet memutuskan bahawa RUU itu masih memerlukan penelitian lanjut melalui sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan khususnya BN dan PN bagi memastikan ia mendapat sokongan mereka di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Foong Hin yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat berkata, sebagai ahli Parlimen, beliau sendiri tidak mengetahui bilakah ‘sesi libat urus’ bersama BN dan PN.
“Nampaknya ada parti komponen kerajaan sendiri tidak mahu (terlibat dalam libat urus). Cuma, kerajaan mesti patuh apa yang telah dijanjikan dalam MoU. Perdana Menteri mesti buktikan beliau seorang yang berintegriti.
“Rang undang-undang ini bukan masalah pada kami (pembangkang), jadi, janganlah kedua-dua pihak BN dan PN selepas bergaduh di Johor, mereka teruskan lagi pergaduhan yang sengaja menggagalkan matlamat MoU. Undang-undang ini perlu dibawa ke untuk mewujudkan sistem politik yang stabil,” katanya. – UTUSAN