RUU anti lompat parti, pengehadan tempoh jawatan PM perlu penelitian lanjut - Utusan Malaysia

RUU anti lompat parti, pengehadan tempoh jawatan PM perlu penelitian lanjut

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kabinet memutuskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung anti lompat parti dan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri sehingga 10 tahun masih memerlukan penelitian lanjut bagi memastikan pindaan itu mendapat sokongan di Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bagi tujuan itu, sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan lain khususnya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan dilaksanakan.

Beliau berkata, di bawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau mengemukakan surat kepada semua pemimpin parti berserta borang soal selidik untuk dijawab bersama draf RUU untuk pandangan dan input selanjutnya pada 15 Mac lalu.

“Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada keseluruhan sembilan sesi libat urus yang saya adakan bersama pelbagai pihak seperti ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta parti-parti komponen termasuk di Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa sesi libat urus bersama BN dan PN yang dijadualkan pada 26 dan 28 Februari lalu ditangguhkan atas permintaan parti untuk memberi fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi menegaskan, sebaik sahaja pendapat dan input daripada semua pihak diperoleh serta sesi libat urus selesai, RUU tersebut akan dibentangkan semasa Sidang Khas Parlimen selaras dengan Peraturan 11(3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Katanya, langkah itu dibuat selepas Jemaah Menteri meluluskan dan sebaik sahaja Perdana Menteri bersetuju menggunakan kuasanya di bawah Peraturan tersebut.

“Kerajaan sentiasa komited dan akan meneruskan usaha merealisasikan penggubalan RUU ini demi memastikan kestabilan politik negara berada pada tahap terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya