IPOH: Pasukan penyelamat mengenal pasti kedudukan dua mangsa yang tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini.
Timbalan Komander Operasi 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Umrani Che Mat berkata, kerja-kerja penggalian dan penebukan bongkah batu di lokasi jangkaan mangsa berada menggunakan mesin gerudi.
Menurut beliau, kerja-kerja tersebut akan dipantau sepenuhnya oleh Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
“Hasil perbincangan bersama semua agensi terlibat pagi ini, kita telah mengenal pasti jangkaan kedudukan mangsa tertimbus.
“Pihak kuari mencadangkan untuk menggerudi lokasi yang ditemui iaitu membabitkan kawasan seluas 100 meter kaki persegi dengan kedalaman 11 meter,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kerja-kerja mengalihkan batu bagi membuka laluan hingga ke bahagian belakang runtuhan masih diteruskan dalam operasi yang masuk hari ke-12.
Katanya, dua buah jengkaut digunakan untuk penugasan berkenaan.
Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN