Rosmah tidak yakin hakim boleh bertindak neutral

Rosmah tidak yakin hakim boleh bertindak neutral

ROSMAH Mansor hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi sambung perbicaraan terhadap tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penglibatan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Mohamed Zaini Mazlan dalam empat kes berbeza membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor dan ahli keluarganya menyebabkan bekas Wanita Pertama Malaysia itu hilang keyakinan bahawa hakim terbabit boleh memberikan keputusan yang adil dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram dan elak cukai yang dihadapinya.

Peguam bela, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dalam hujahannya menyatakan, anak guamnya perlu diberikan perbicaraan yang adil oleh seseorang yang boleh membuat keputusan secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau keputusan yang pernah dibuat dalam kes terdahulu.

“Pada ketika ini, Yang Arif telah membuat keputusan dalam beberapa kes membabitkan Rosmah, ahli keluarganya dan beberapa orang saksi yang telah memberi keterangan dalam kes rasuah Rosmah. Ini sudah pasti mempengaruhi pemikiran Yang Arif bahawa Rosmah mempunyai keperibadian yang teruk.

“Terdapat kemungkinan yang serius bahawa pemikiran Yang Arif mungkin dipengaruhi atau mungkin berlakunya berat sebelah yang akan menyebbakan Yang Arif membuat kesimpulan awal. 

“Adalah benar seseorang hakim adalah seorang yang terlatih untuk membuat keputusan dengan bebas dan tidak berat sebelah namun perlu diingatkan juga bahawa sebagai seorang manusia, kita juga mempunyai kekurangan dan hakim juga adalah manusia biasa,” kata peguam terbabit.

Firoz berhujah demikian pada pendengaran permohonan kali kedua Rosmah untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan elak cukai yang dihadapinya.

Hakim tersebut juga sedang mendengar kes rasuah Rosmah berhubung projek solar hibrid dan yang mengarahkan wanita itu membela diri atas pertuduhan tersebut.

Pada 12 Januari lalu, Rosmah memfailkan permohonan kali kedua untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini. 

Pada 14 Disember 2021, mahkamah sama menolak permohonan serupa atas alasan antaranya kepentingan Rosmah tidak akan diprejudiskan walaupun beliau merupakan hakim yang sama mendengar perbicaraan kes rasuah wanita itu.

Sementara itu, Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam hujahannya menyatakan permohonan kali kedua Rosmah adalah satu cubaan semula untuk untuk mendapatkan relif yang dihajatinya sedangkan ia telah ditolak sebelum ini. 

“Permohonan (kali kedua) ini sangat cacat (fatally flawed). Yang Arif telah menolak permohonan serupa pada 14 Disember lalu dan apa yang telah Yang Arif putuskan ketika itu telah menghalang segala permohonan serupa difailkan.

“Ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.

Tambah Sri Ram, pada 2019, pihak pembelaan sendiri telah membantah permohonan pendakwaan untuk kes rasuah dan kes pengubahan wang haram ini dibicarakan bersama atas alasan kedua-dua kes membabitkan fakta yang berlainan.

“Mereka tidak boleh hadir ke mahkamah hari ini dan menyatakan bahawa keterangan yang diberikan dalam kes rasuah boleh mempengaruhi Yang Arif dalam kes pengubahan wang haram ini sedangkan mereka sendiri sebelum ini menyatakan ia membabitkan fakta berlainan,” kata Sri Ram.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Mohamed Zaini menetapkan 21 Mac ini untuk keputusan permohonan Rosmah untuk menyingkirkannya daripada mendengar perbicaraan kes AMLA dan elak cukai itu.

Selain permohonan untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini, wanita terbabit juga memohon agar Sri Ram disingkirkan daripada mengetuai pasukan pendakwaan atas alasan bekas Hakim Mahkamah PErsekutuan itu bukanlah seseorang yang sesuai dan wajar.

Rosmah juga memohon agar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan elak cukai cukai itu ditangguhkan sehingga keputusan rayuannya terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini bertarikh 14 Disember 2021 diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya