KEMAMAN: Kerosakan empat balai polis termasuk sebuah pondok yang terjejas banjir di negeri ini dianggarkan mencecah kos RM700,000.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, balai itu ialah di Manir, Kuala Terengganu diikuti di Air Putih (Kemaman) serta dua di Dungun iaitu di Kuala Jengai dan Pondok Polis Pasir Raja.
Katanya, kerja-kerja baik pulih meliputi ruang pejabat selain infrastruktur di sekitar balai dan kuarters.
“Kita akan menghantar permohonan bajet ini ke peringkat atasan supaya kerja-kerja baik pulih dapat dilakukan segera,” katanya selepas melawat Balai Polis Air Putih yang terjejas banjir, di sini hari ini.
Rohaimi berkata, kesemua 48 anggota dan pegawai di kontinjen Terengganu yang terjejas bah akan menerima bantuan tabung kebajikan disusuli sumbangan lain.
Dalam pada itu, katanya, polis tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu berkenaan banjir termasuk dakwaan wujud aktiviti pembalakan yang menyebabkan bah.
Katanya, berdasarkan maklumat dan siasatan daripada pihak berwajib, tiada sebarang pembalakan di Tasik Kenyir sepertimana yang tular dalam media sosial.
“Sisa timbunan kayu yang hanyut adalah kayu mati lama, sebab itu terdapat terdapat akar. Individu yang didapati menyebar berita palsu ini boleh diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya. – UTUSAN