RM2.5 juta majukan pendidikan anak pekebun kecil

Yayasan Risda sumbang RM2.5 juta majukan pendidikan anak pekebun kecil

ABDUL RAHMAN Mohamad (tiga dari kiri) menggalaskan beg sekolah di belakang seorang anak pekebun kecil yang menerima Skim Bantuan Khas Persekolahan Yayasan Risda di Kuala Lipis di Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Yayasan Risda memperuntukkan RM2.5 juta kepada anak pekebun kecil yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini di bawah Program Tuisyen Rakyat.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, seramai 3,000 anak pekebun kecil memperoleh manfaat program itu yang berkonsepkan kelas bimbingan tambahan melibatkan mata pelajaran bahasa Melayu, Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah.

“Sebanyak 200 buah pusat tuisyen yang dibuka dengan penglibatan seramai 15 orang calon SPM di setiap buah pusat seluruh negara.

“Melalui program ini, pelajar terlibat dapat meningkatkan tahap pencapaian akademik selari. hasrat kerajaan memfokuskan kumpulan sasar sebagai pemangkin kecemerlangan modal insan generasi pekebun kecil,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Skim Bantuan Persekolahan Parlimen Lipis dan replika cek Program Tuisyen Rakyat Risda peringkat negeri di Lipis hari ini.

Menurut Abdul Rahman, pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan persekolahan tahun ini dipilih oleh pegawai pendidikan daerah (PPD) dan sekolah masing-masing yang terdiri daripada anak pekebun kecil yang berpendapatan rendah.

“Tanggungjawab sosial korporat (CSR) Risda menerusi program ini untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar luar bandar di samping sebagai perangsang bagi anak kumpulan sasar ini supaya belajar bersungguh-sungguh hingga ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis menambah, Yayasan Risda memperuntukkan sebanyak RM312,000 untuk seramai 375 orang pelajar SPM yang menyertai di 25 buah pusat tuisyen seluruh Pahang tahun ini.

“Daripada jumlah itu, RM50,000 disediakan untuk seramai 60 pelajar SPM di Lipis di empat buah pusat tuisyen iaitu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benta, SMK Setiawangsa, SMK Sungai Koyan dam SMK Padang Tengku masing-masing seramai 15 orang menyertai program kelas bimbingan tersebut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN