Penggunaan kaedah teknologi internet kebendaan (IoT) seperti perkhidmatan dron dalam bidang pertanian kini dilihat telah mengubah lanskap pertanian konvensional yang mampu menjamin hasil pengeluaran makanan dengan lebih optimum selain dapat menjana pendapatan.
Pemilik dron pertanian Muhammad Safwan Abu Hasan, 32 berkata dia memanfaatkan penggunaan dron pada hampir kesemua peringkat penanaman padi di sawah miliknya daripada menyembur racun, hinggalah ke pemberian baja.
“Saya mula mencuba pengunaan dron sekitar 2019. Pada peringkat permulaan saya gunakan untuk menyembur racun di petak sawah milik saya di Permatang Nibong,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di bendang sawah berhampiran Tanah Liat, Kubang Semang, Pulau Pinang baru-baru ini.
Penggunaan peralatan nyata memberikan sumber pendapatan buat dirinya apabila dronnya menawarkan perkhidmatan menyembur racun, baja dan benih padi kepada petani ladang dan pesawah.
“Sebelum ini saya menggunakan custom drone dari jenama yang berbeza, cuma sama dari segi kapisiti iaitu 16 liter. Namun, kini saya menggunakan dron jenis Agras T16 DJI yang bernilai kira-kira RM54,000 yang lebih mudah dipandu dan memiliki sensor keselamatan yang lebih terjamin.
“Ia menjimatkan kos tenaga manusia. Paling utama dapat mengurangkan risiko terhadap kesihatan. Contohnya jika menggunakan tenaga manusia untuk sembur racun, semai baja mahupun benih padi ia boleh mengambil masa selama satu jam untuk keluasan satu petak sawah padi iaitu kira-kira 0.6 hektar berbanding menggunakan teknologi dron dengan hanya memakan masa selama 10 minit hingga ke 15 minit sahaja,” katanya memberikan pandangan.
Daripada aspek kesihatan pula penggunaan dron boleh mengurangkan pendedahan terhadap racun yang boleh mendatangkan implikasi masalah kulit, mata dan sebagainya kalau didedahkan dalam tempoh masa panjang.
“Kalau guna dron, kita bancuh racun sendiri dengan memasukkan ke dalam tangki (16 liter) dan selebihnya dron akan buat,” katanya.
KEDAH PEMETAAN
Lulusan kejuruteraan mekanikal dari Politeknik Seberang Perai ini berkata, sebelum memulakan aktiviti menyembur racun, baja, mahupun benih padi, beliau akan melakukan pemetaan (mapping) petak sawah terlebih dahulu.
Katanya, kaedah pemetaan tersebut melibatkan jumlah kadar racun serta masa penyemburan yang dilakukan secara automatik dengan menggunakan kemudahan internet jaringan tanpa wayar (Wi-Fi) dan ‘hotspot’ pada telefon pintar.
CABARAN TEKNOLOGI
Antara limitasi penggunaan peralatan dalam pertanian ialah aspek cuaca.
Muhammad Safwan mengakui hal berkenaan dan menyifatkan cuaca tidak menentu seperti hujan lebat akan merencatkan kerja penyemburan kerana dikhuatiri akan merosakkan sistem elektronik dron jika terkena air.
Awan tebal, pokok besar mahupun tiang elektrik pada petak sawah turut dikenalpasti sebagai faktor yang akan menyukarkan lagi proses pemetaan iaitu akan mengganggu sensor dron.
“Kalau ini berlaku, kita perlu melakukan semburan secara manual bagi memastikan kesemua kawasan petak sawah mendapat semburan racun, baja dan benih dengan sekata,” katanya yang dibantu isteri, Shamila Shaharudin, 27.
‘PETANI PERLU MANFAAT TEKNOLOGI’
“Sudah tiba masanya belia didedahkan dengan teknik pembelajaran menggunaan kaedah IoT dalam bidang pertanian menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR).
“Saya kira industri pertanian perlu beralih kepada teknologi lebih moden dalam memastikan tenaga kerja manusia dapat dijimatkan, di samping mampu mengoptimumkan hasil keluaran tanaman negara bukan sahaja padi, malah hasil komoditi lain,” kata Shamila memberi reaksi.
Sementara itu, seorang pesawah Zamzuri Din, 52 berkata, kemudahan dron bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran sumber tenaga manusia, tetapi pada masa sama menjimatkan kos bahan yang digunakan kerana kaedah penyemburan dilakukan dron adalah rata, seragam dan lebih berkesan.
“Saya lihat ramai dalam kalangan pesawah mahupun petani sudah mula menggunakan perkhidmatan dron kerana sedar manfaatnya.
“Ia perlu diperluas selaras dengan arus pemodenan dunia dalam usaha mengangkat sektor pertanian ke arah lebih maju dan berdaya saing,” katanya.