Restoran Mamak perlu 25,000 pekerja - Utusan Malaysia

Restoran Mamak perlu 25,000 pekerja

RESTORAN mamak merupakan antara destinasi popular untuk menjamu selera sebahagian besar rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 25,000 pekerja diperlukan oleh restoran-restoran mamak untuk membolehkan mereka beroperasi dengan lancar apabila operasi 24 jam dilaksanakan selepas diberikan kebenaran oleh kerajaan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, persatuannya menyambut baik fasa peralihan ke endemik namun ruang untuk beroperasi seperti biasa masih kecil kerana lebih 80 peratus daripada pemilik kedai makan itu menghadapi kekangan tenaga.

JAWAHARI ALI TAIB

Menurut beliau, pelbagai usaha sudah dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut tetapi mereka tetap buntu.

“Kemampuan kami untuk membuka 24 jam adalah sangat terhad dan tidak semua mampu kerana ketiadaan pekerja untuk beroperasi seperti dahulu. Segala ikhtiar kami untuk mendapatkan pekerja tempatan juga tidak membuahkan hasil.

“Ada usaha kami lakukan seperti bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) iaitu individu yang kehilangan pekerjaan, kami tawarkan kerja tapi sambutan amat kurang,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ bermula 1 April ini dan ia merupakan ‘exit strategy’ untuk membolehkan rakyat kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan Covid-19.

Dengan peralihan fasa tersebut, semua premis dan restoran dibenarkan beroperasi mengikuti lesen mereka serta pelanggan boleh menikmati makanan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam, terutamanya dengan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi

Jawahar Ali memaklumkan, restoran mamak menawarkan gaji RM1,500 kepada individu yang berminat namun tidak ada yang mahu bekerja di kedai makan tersebut kerana persepsi terhadap premis tersebut.

“Walaupun buat masa ini, gaji minimum adalah RM1,200, kami ada menawarkan RM1,500 termasuk dengan makan dan minum pekerja ditanggung. Malah tempat untuk penginapan juga disediakan.

“Disebabkan sekarang ini amat sukar untuk mendapatkan pekerja, kami cuba mengubah konsep restoran dengan menggunakan teknologi robot bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia tetapi untuk menuju ke arah itu ia memerlukan masa dari dua ke tiga tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya