PETALING JAYA: Teknologi ‘remote sensing’ angkasa akan diguna Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membantu kerajaan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengesan kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, dekat sini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, analisis itu dibuat menggunakan teknologi yang dibangunkan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Menurut beliau, terdapat tujuh jenis maklumat yang diperlukan berkaitan dengan ‘remote sensing’ dan imej satelit yang sepatutnya boleh memberi maklumat awal sekali gus membantu dari segi menangani risiko berkaitan dengan kejadian seperti ini.
“Sebelum ini, sudah berlaku kejadian sama di Kemensah di Hulu Klang dan kita pernah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi ‘System E-Slope’ yang membantu berkaitan pembangunan cerun.
“Ini adalah kerjasama MYSA dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Ahmad Amzad, MOSTI berperanan dalam memberikan maklumat yang diperlukan menggunakan satelit.
“Perkara itu kita sudah laksanakan dan ia adalah skop di bawah MOSTI dan kunjungan saya di sini adalah bagi memastikan kita tidak terlepas pandang dari segi apa-apa maklumat.
“Selain itu, ia bagi membolehkan kita membantu kerajaan dari segi membuat keputusan dan lain-lain,” jelasnya.
Dalam kejadian tanah runtuh pada khamis lalu, empat maut manakala seorang lagi mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2. – UTUSAN