Reman dua peniaga cuba rasuah pegawai TNB dilanjutkan

Reman dua peniaga cuba rasuah pegawai TNB dilanjutkan

TEMPOH tahanan reman dua lelaki yang disyaki cuba menawarkan rasuah kepada pegawai TNB bagi menutup aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin di sekitar Negeri Sembilan tahun lalu dilanjutkan dua hari lagi. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tempoh tahanan reman dua peniaga yang disyaki cuba menawarkan rasuah kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menutup aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin di sekitar Negeri Sembilan tahun lalu, dilanjutkan dua hari lagi.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 49 dan 50 tahun itu sehingga 8 Mac ini dikeluarkan Penolong Pendaftar, Mas Azmimin Ahmad di Mahkamah Khas Reman Seremban, di sini, hari ini.

Permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dikemukakan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Khairi Abdul Karim.

Sebelum ini, mereka dikenakan tahanan reman enam hari bermula 1 Mac lalu bagi membantu siasatan. Terdahulu, kedua-dua lelaki itu yang diwakili peguam tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban pada pukul 10 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.

Difahamkan, sejak Ogos 2021 hingga Januari lalu, kedua-dua suspek menawarkan dan memberi wang keseluruhan berjumlah RM75,000 secara rasuah kepada pegawai TNB Zon Selatan (Negeri Melaka/Johor/Negeri Sembilan).

Ia sebagai dorongan melindungi aktiviti mencuri bekalan elektrik di beberapa premis sekitar Negeri Sembilan yang menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.

Kedua-dua suspek sebelum itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada pukul 3.30 petang 28 Februari lalu. 

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya