PASIR GUDANG: Remaja perempuan berusia 17 tahun mengalami patah kedua pergelangan tangan serta luka di leher apabila terjatuh motosikal setelah terbelit bendera parti politik yang dipasang di tepi jalan di Kampung Cahaya Baru, di sini Rabu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan di bahagian pesakit luar.
Bapa remaja berkenaan, Md. Shahril Mahmood, 43, memberitahu, kejadian berlaku ketika anak sulung yang dikenali sebagai Najlaa menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Kota Masai di sini.
“Kejadian berlaku ketika dia menggunakan laluan di perkampungan dan melalui kawasan yang dipasang bendera parti politik sepanjang 30 meter di tepi jalan tersebut.
“Apabila sampai di tempat kejadian, bendera yang dipasang antara dua pokok beralun ditiup angin kencang hingga terkena muka serta terlilit lehernya hingga menyebabkan kemalangan,” katanya.
Katanya, dia kecewa dengan tindakan individu yang memasang bendera parti berhampiran jalan raya tanpa mengambil kira aspek keselamatan pengguna jalan raya.
“Saya bukan memburukkan atau mahu menjatuhkan imej mana-mana pihak namun saya berharap kejadian seumpama ini tidak berlaku. Semua parti yang bertanding harus mempertimbangkan perkara ini,” katanya.
Tambahnya, dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu sehari selepas insiden berlaku di Balai Polis Taman Scientex, Pasir Gudang dan anaknya kini juga terpaksa menjalani rawatan susulan dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN