PUTRAJAYA: Datuk V.K Lingam yang pernah dikaitkan dengan klip video kontroversi berhubung pelantikan hakim 21 tahun lalu, gagal dalam usaha terakhirnya untuk kembali beramal sebagai peguam.
Perkara itu dimuktamadkan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak rayuan akhirnya untuk membatalkan keputusan Lembaga Tatatertib mengeluarkan namanya daripada Senarai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya atas dakwaan salah laku.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara berpuas hati mahkamah tertinggi negara tidak perlu campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan Lingam.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah turut memerintahkan bekas peguam itu membayar kos RM30,000 kepada Majlis Peguam.
Lingam diwakili oleh peguam R. Thayalan manakala Majlis Peguam selaku responden diwakili oleh Razlan Hadri Zulkifli.
Ketika membacakan keputusannya, Hakim Tengku Maimun berkata, tuduhan khusus yang dilemparkan kepada Lingam adalah kerana mencampuri urusan pelantikan hakim iaitu satu tuduhan salah laku tanpa mengira sama ada dilakukan secara bersendirian atau bersama-sama pihak lain.
Ketua Hakim Negara berkata, peguam responden menghujahkan perayu gagal menyanggah keterangan Loh Gwo Burne yang mengaku mendengar perbualan perayu yang cuba mencampuri urusan pelantikan hakim.
Pada hemat panel itu, isu yang penting adalah dapatan telah dicapai bahawa perayu mencampuri urusan badan kehakiman tanpa mengira perbualan itu melibatkan pelantikan hakim yang mana.
Berhubung isu kesahihan klip video, Hakim Tengku Maimun berkata, panel itu tidak bersetuju dengan hujahan perayu bahawa video yang dikemukakan pada prosiding lembaga tatatertib bukan video asli kerana telah dimuat turun daripada sebuah portal berita.
Ujar Ketua Hakim Negara, Gwo Burne selaku pembuat video asli yang dikatakan dirakam pada 2001 telah dipanggil memberi keterangan dan menyaksikan sendiri perayu berbual di telefon dan ia merupakan satu keterangan langsung.
Selepas meneliti nota keterangan, panel itu turut berpuas hati bahawa Gwo Burne telah memberi keterangan berkaitan video tersebut dan mengesahkan bahawa kandungannya sama seperti yang diucapkan oleh perayu.
Mahkamah berpendapat, Jawatankuasa Tatatertib, Lembaga Tatatertib Badan Peguam dan mahkamah terdahulu bergantung kepada keterangan Gwo Burne untuk mengesahkan kandungannya yang menjadi asas kepada dapatan salah laku.
Panel itu turut berpendirian, perintah Lembaga Tatatertib yang dikeluarkan pada 6 November 2015 tidak terbatal kerana lembaga itu telah memberikan alasan keputusannya.
Pada 27 Julai 2021, Mahkamah Rayuan berpuas hati rayuannya tiada merit dan berpendapat tidak berlaku pelanggaran keadilan semula jadi terhadapnya.
Lingam ketika itu mendakwa tidak didengar secara langsung sebelum lembaga disiplin mengenakan hukuman terhadapnya.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Lee Swee Seng berkata, keterangan pembuat klip video itu bahawa apa yang beliau lakukan dan dengar di rumah Lingam, adalah bukti nyata.
Gwo Burne yang memberi keterangan di hadapan jawatankuasa tatatertib mengesahkan beliau dan bapanya berada di rumah Lingam pada malam 20 Disember 2001 dan beliau merakam peristiwa berkaitan tindakan dan perbincangan Lingam.
Lingam tidak menafikan peristiwa pertemuan dengan Gwo Burne dan bapa di rumahnya.
“Apa yang dikatakan perayu (Lingam) adalah klip video itu tidak tulen.
“Namun perayu tidak menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan percakapan seperti itu di telefon bimbitnya, tetapi hanya tidak dapat mengingati perbualan seperti itu ketika Gwo Burne dan bapa berada di rumahnya pada malam berkenaan,” ujar Hakim Swee Seng.
Lingam mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei 2018 yang mengekalkan keputusan lembaga tatatertib itu mengeluarkan namanya daripada Senarai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya.
Dalam saman pemulanya, Lingam memohon mahkamah membatalkan keputusan Lembaga Tatatertib Badan Peguam pada 6 November 2015 yang mengesahkan dapatan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib yang mendapati beliau mencampuri atau mengganggu dan mempengaruhi dalam urusan pelantikan badan kehakiman.
Beliau juga memohon perintah mahkamah untuk membatalkan dapatan dan syor Jawatankuasa Tatatertib yang menggantung beliau daripada berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara selama setahun dan didenda RM20,000. – UTUSAN