PADANG TERAP: Penduduk di Kampung Parit, Mukim Tualak di Kuala Nerang dekat sini, merayu pihak-pihak berkaitan membaiki jambatan di kampung itu yang rosak dan hampir runtuh sejak dua tahun lalu.
Jambatan sepanjang 10 meter dan lebar 2.5 meter itu adalah laluan perhubungan utama kira-kira 30 keluarga di kampung berkenaan untuk keluar ke jalan utama menjalankan aktiviti harian.
Seorang penduduk, Mohd. Saad Ahmad, 63, berkata, struktur jambatan didapati semakin retak sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk ketika melaluinya.
Menurutnya, keadaan tersebut berlaku apabila beberapa struktur jambatan semakin mendap akibat hakisan disebabkan arus deras di tali air itu.
Katanya, penduduk sebelum ini mengadakan gotong-royong untuk membaiki jambatan tersebut.
“Bagaimanapun hujan yang lebat sejak akhir-akhir ini dan aliran air di itu semakin deras menyebabkan struktur binaan jambatan semakin rosak.
“Malah pemandu kereta tidak berani melalui jambatan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mohd. Saad memberitahu, sebelum ini kebanyakan ibu bapa menggunakan jambatan itu untuk menghantar anak mereka ke sekolah berdekatan dalam masa beberapa minit sahaja.
“Bagaimanapun ibu bapa yang takut melalui jambatan itu terpaksa melalui jalan lain yang lebih jauh kira-kira tiga kilometer ke jalan utama,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Saiful Rozam Khalid, 40, berkata, jambatan itu turut digunakan petani dan penoreh getah ke kawasan kebun mereka, selain mengeluarkan hasil tanaman masing-masing.
Katanya, sebelum ini lori masih boleh melalui jambatan itu untuk membawa hasil pertanian di kampung tersebut tetapi kini tidak selamat dilalui.
“Oleh itu, saya berharap pihak berkenaan dapat membaiki jambatan itu secepat mungkin untuk kemudahan dan keselamatan penduduk,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Kurung Hitam, Azmi Saad ketika dihubungi berkata, masalah itu sudah mendapat perhatian Pejabat Daerah Padang Terap apabila peruntukan membaiki jambatan telah diluluskan.
“Kerja-kerja membaiki jambatan itu dijangka dapat dilakukan selepas selesai proses pelantikan kontraktor,” katanya. – UTUSAN