Rasuah: Didakwa lagi sorok kematian pekerja akibat Covid-19

Rasuah: Didakwa lagi sorok kematian pekerja akibat Covid-19

C. MAHENTHIRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak sampai dua minggu didakwa atas lapan tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, seorang pemilik syarikat kawalan keselamatan didakwa sekali lagi atas pertuduhan serupa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Pada prosiding hari ini, C. Mahenthiran, 51, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM200,000 daripada seorang pemilik kilang air batu pada 29 Julai dan 3 Ogos 2021 di Taman Sri Ehsan serta di hadapan sebuah bank di Kepong.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan Pegawai Pendakwa SPRM Selangor, Mohd. Aliff Shaharuzaman mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pilihan memperdaya mangsa sama sehingga mendorong pemilik syarikat air batu itu menyerahkan wang tersebut kepadanya.

Pertuduhan bagi dakwaan itu dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 25 Februari lalu, Mahenthiran didakwa atas lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM630,000 sebagai dorongan membantu menutup kes kematian seorang pekerja Bangladesh akibat Covid-19, tahun lalu.

Selepas mahkamah merekodkan pengakuan tertuduh, pendakwaan kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dan memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana ia membabitkan siasatan dan saksi-saksi yang sama.

Semasa prosiding, peguam Datin M.A Navamani mewakili tertuduh memohon Hakim Suzana Hussin agar menggunakan ikat jamin yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini iaitu RM40,000.

Tambah peguam tersebut, anak guamnya telah memberikan kerjasama sepenuhnya semasa siasatan kes tersebut dan pasport juga telah diserahkan kepada mahkamah.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk mengguna pakai wang jamin sebelum ini dan memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Mac ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya