KOTA TINGGI: Rakyat Johor khususnya pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat dan Penawar diingatkan tidak termakan dengan isu ‘kluster mahkamah’ dimainkan dalam kempen parti lawan sehingga mengambil keputusan yang merugikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mereka yang membawa isu itu akan balik ke kawasan masing-masing selepas PRN selesai, sedangkan rakyat perlu membuat keputusan sama ada menerima habuan kejayaan atau terima cabaran kegagalan sekiranya memilih dalam keadaan ‘marahkan nyamuk bakar kelambu’.
“Saya nak ingatkan pengundi, 13 Mac mereka semua yang cakap-cakap ini (yang kempen) akan balik. Tak ada ‘kluster mahkamah’ yang bertanding di Penawar dan Tanjung Surat. Kita tawarkan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita bahagian yang dilahirkan dari keluarga UMNO. Satu perut dengan Ahli Parlimen senang untuk kita buat kerja kerana lepas menang kita nak buat kerja bukan hilang sebab itu saya kata, cakap memang senang nak buat susah, jangan marah nyamuk bakar kelambu.
“Kemudian yang pembangunan ini siapa nak selesaikan kalau suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berlainan dari Parlimen dan kerajaan negeri, siapa hendak selesaikan masalah kalau rakyat Johor pilih kerajaan yang tiada majoriti,” katanya kepada pemberita selepas hadir program sumbangan tong ikan kepada nelayan di Jeti Sungai Musoh hari ini.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang merangkap Ketua UMNO Bahagian Pengerang berkata, keputusan mengadakan PRN Johor dibuat untuk memberi kestabilan lebih kepada rakyat dan demi kebaikan masa depan bangsa Johor.
Katanya, keputusan itu tiada kena mengena dengan keinginan kepimpinan tertentu bahkan isu yang dimainkan pihak lawan seperti pintu belakang, mahu berkuasa selain ‘kluster mahkamah’ hanyalah cerita yang sudah basi.
“Alhamdulilah kita terima respons positif pada calon kita di kedua-dua DUN. Saya nak minta pengundi muda dan pengundi automatik yang ada 14,000 orang untuk pilih mereka yang ada di sini. Jangan terlampau ghairah terhadap isu-isu yang tidak relevan,” katanya.
Mengulas lanjut berkenaan isu pekerjaan yang dimainkan lawan, Azalina berkata, beliau sentiasa menegur syarikat besar seperti Petronas agar orang tempatan diberikan keutamaan dalam pekerjaan dengan mewujudkan sistem kuota.
Katanya, Ikhtiar Barisan Nasional (BN) dan Menteri Besar memberikan beberapa komitmen dan berharap calon yang ditawarkan dalam PRN akan menyambung membuat tuntutan atas komitmen tersebut.
“Saya sudah tegur jangan lepas menang lupa amanah dan tanggungjawab sebab perjuangan belum selesai kita tak nak kampung kita dipenuhi orang luar dari aspek pekerjaan. Itu sebab pekerjan satu hal, kemahiran lain saya sudah minta sekolah vokasional, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), usahawan, macam-macam kita perlu buat hanya pembangunan sahaja tidak cukup. Sebab itu kesinambungan itu perlu bila Kerajaan Persekutuan dan negeri sama, macam-macam boleh buat tetapi apa yang berlaku di sini tergendala sekejap 22 bulan kemudian sambung 17 bulan sebab itu keadaan politik perlu stabil untuk berikan kestabilan kepada negeri dan negara,” katanya. – UTUSAN