KEMAMAN: Kesemua lima pulau peranginan di Terengganu selamat untuk dikunjungi pelancong dan kembali beroperasi seperti biasa.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, orang ramai tidak perlu menangguh atau membatalkan percutian mereka ke Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Lang Tengah, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol kerana keadaan cuaca sudah pulih.
“Setakat ini, kelima-lima pulau pelancongan di Terengganu telah dibuka. Insya-Allah, tiada masalah, malah 20 resort memaklumkan mereka beroperasi seperti biasa dan dikunjungi lebih 500 pelancong.
“Jadi, pengunjung tidak perlu membatalkan percutian dan untuk maklumat lanjut boleh berhubung dengan pengusaha resort masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas meninjau beberapa kawasan banjir di Air Putih, di sini hari ini.
Rohaimi berkata, pihaknya bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan agensi lain sentiasa bekerjasama dari segi bantuan logistik dan kemanusiaan sekiranya berlaku sebarang bencana.
Terdahulu, media melaporkan seramai 389 pelancong terkandas tiga hari di Pulau Perhentian ekoran cuaca buruk, bagaimanapun mereka dibenarkan pulang Isnin lalu selepas cuaca beransur baik.
Musim tengkujuh
Sebelum ini dilaporkan Sebanyak tujuh resort di Pulau Redang di sini, kembali beroperasi selepas ditutup pada musim tengkujuh dan sedia menerima kedatangan pelancong.
Pengurus Redang Pelangi Resort, Foo Ee Lin berkata, tempahan bilik kini mencecah 60 peratus sejak mula beroperasi, semalam.
“Lebih 20 pelancong termasuk dari Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan serta Terengganu mendaftar masuk pada hari pertama resort dibuka dan jumlah itu dijangka terus meningkat terutama pada musim cuti sekolah ini.
“Rata-rata pelanggan teruja bercuti dan dengan pengoperasian bangunan baharu kita, sekali gus mampu memberi lebih kepuasan kepada pelancong,” katanya.
Ee Lin berkata, walaupun cuaca buruk melanda pulau-pulau peranginan baru-baru ini, tetapi keadaan sudah kembali pulih.
Selain Redang Pelangi Resort, turut memulakan operasi semalam ialah Lagoon Resort. – UTUSAN