Pulau Orang Utan dibuka semula 

Pulau Orang Utan dibuka semula 

PENGUNJUNG, Fatin Nabila Razali melawat Pulau Orang Utan di Tasik Bukit Merah dekat Bagan Serai, Perak, hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pulau Orang Utan di tengah Tasik Bukit Merah di sini, yang sebelum ini ditutup kepada pengunjung berikutan air tasik itu surut, kini beroperasi semula.

Ketua Pengurusan Pulau Orang Utan, Norhafizi Mohd. Hafizudin berkata,  ia berikutan aras air di tasik itu kembali ke paras normal.

Menurutnya, kini pengunjung ke Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini, boleh datang melawat Pulau Orang Utan setelah dibuka sejak  23 Februari lalu.

“Kita sudah beroperasi semula, bot yang membawa pengunjung boleh beroperasi setelah air di Tasik Bukit Merah kembali mencatat paras normal. Terdapat berbagai pakej lawatan disediakan kepada pengunjung,” katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria di BMLR di sini, hari ini.

Menurutnya, Pulau Orang Utan tidak beroperasi sejak 18 Mac 2020 berikutan penularan Covid-19.

Katanya, pulau itu kemudian ditutup kepada pengunjung ekoran aras air di Tasik Bukit Merah susut dua bulan lalu.

Jelasnya, sejak kembali beroperasi, jumlah pengunjung ke pulau itu berkurangan berbanding sebelum Covid-19.

“Kami berharap pengunjung melawat pulau ini untuk memberi sokongan mengekalkan Pulau Orang Utan sebagai satu destinasi pelancongan dan membawa manfaat kepada pendidikan. Hasil tiket jualan ke pulau ini digunakan untuk pembiayaan makanan dan ubat-ubatan haiwan di pulau ini. Sebab itu besar harapan kami sekiranya masyarakat memberi sokongan dengan melawat pulau ini,” katanya.

Sementara itu, Razman berkata, aras air di Tasik Bukit Merah kini kembali normal dengan bacaan 8.38 meter hari ini berikutan hujan.

“Kita berharap apabila  aras air di kolam ini bertambah, tidak ada lagi masalah kepada pesawah daerah Kerian dan pengguna domestik,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya