PRU-15: Tiada masalah diadakan, kukuhkan kestabilkan kesihatan negara

PRU-15: Tiada masalah jika diadakan, stabilkan kesihatan negara

DICK-LEMBANG-dan-DR-HELMY-HAZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Tiada masalah sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan sesuai dengan situasi peralihan ke fasa endemik, kata penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dick Lembang.

“Bagi saya tidak ada masalah untuk menjalankan PRU-15, ini kerana beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) telahpun dilaksanakan semasa pandemik demi kestabilan politik.

“Bagaimanapun, sistem kesihatan harus dipastikan mempunyai kemampuan yang maksima sebelum berhasrat untuk melaksanakan PRU15 nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Justeru, beliau berharap pelaksanaan proses demokrasi wajar diberikan namun, keselamatan serta kesihatan rakyat juga harus diutamakan.

“Apa yang paling penting, kerajaan perlu pastikan rakyat menunaikan hak demokrasi mereka semasa PRU-15.

“Kita juga tidak mahu melihat peratusan mengundi yang kurang seperti PRN yang telahpun diadakan sebelum ini, oleh itu kewajaran untuk mengadakan PRU15 penting bagi memastikan seseorang yang bakal di pilih merupakan pilihan majoriti apabila kita melihat peratusan mengundi,” tambahnya.

Beliau diminta mengulas pandangannya sebagai penganalisis politik susulan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mengatakan kesihatan awam perlu diberikan masa untuk stabil sebelum adakan PRU15.

Sementara itu, pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Helmy Hazmi berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengadakan PRU15 dalam waktu terdekat ini.

Ini kerana, kerajaan masih perlu memberi timbangan kepada aspek kesihatan rakyat, kemaslahatan umum dan keperluan politik negara.

“Dalam situasi sekarang, kita perlu mengambil berat tentang kesihatan orang awam terlebih dahulu dan juga keupayaan sistem kesihatan awam untuk berfungsi pada tahap optima dalam memberikan perkhidmatan kesihatan.

“Ini termasuk kebolehan sistem kesihatan kita untuk menyerap peningkatan kes teruk dan memberikan rawatan kesihatan kepada mereka dalam kategori 3 hingga 5,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau memberi pendapatnya sebagai pakar kesihatan yang melihat kepada situasi kes Covid-19 di negara ini.

Menambah lanjut, beliau berkata sememangnya kita tidak hanya melihat kepada bilangan kes semasa, namun perlu diketahui bahawa peningkatan kes akan turut disertai oleh peningkatan kes teruk dan juga kematian, terutamanya bagi mereka yang masih lagi belum mendapatkan suntikan vaksin.

“Tambahan pula, bermula 1 April kelak, ia merupakan permulaan kepada latihan untuk membiasakan diri untuk hidup dengan Covid-19, dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang telah diutarakan selama ini.

“Tidak dapat dinafikan, akan ada sesetengah orang yang mempunyai konsep di mana pada peralihan fasa endamik ini nanti, menganggapkan kita sudah menang dan kehidupan kita sudah kembali kepada situasi sebelum pandemik Covid-19,” ujar Dr Helmy.

Malah ramai yang sudah mengabaikan tanggungjawab melaporkan status jangkitan mereka kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Golongan ini masih memerlukan bimbingan dan fasa selepas 1 April tersebut adalah peluang untuk memberikan didikan ini.

“Bagaimanapun, sekiranya PRU15 boleh dijalankan sepertimana PRN Sarawak, maka tiada masalah untuk mengadakan PRU15.

“Namun, senario pada waktu tersebut agak berlainan, kerana Sarawak masih pada fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang mana ia memberikan satu perasaan berjaga-jaga kepada orang ramai yang turut serta dalam aktiviti berkempen dan mengundi,” tegasnya dalam memberikan gambaran kepada situasi kesihatan negara yang banyak kemungkinan boleh berlaku.

Kesimpulannya, kata Dr Helmy ia agak rumit untuk menyatakan bilakah waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU.

“Ini kerana kita memerlukan masa untuk melihat implikasi kepada petunjuk-petunjuk penyakit semasa, selepas kita melepasi peralihan ke fasa endamik kelak.

“Kemungkinan, beberapa penambahbaikan kepada polisi pencegahan masih diperlukan. Dari situ, barulah kita mendapat bayangan bilakah masa yang sesuai untuk mengadakan PRU15”, tambah beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya