BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau sendiri belum tahu bila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh diadakan biarpun Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan lebih dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.
Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau memaklumkan sebelum ini bahawa PRU-15 hanya diadakan apabila telah bersedia.
“Biarpun dalam UMNO ada desakan kumpulan kecil supaya diadakan PRU-15, tetapi setiap keputusan kita akan bincang dalam parti, kita tidak boleh ada kumpulan-kumpulan kecil.
“PRU suatu yang besar, kita akan bincang secara serius dalam parti. Jadi parti akan buat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia di Kompleks Rakan Muda Bera, di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol azali Sulaiman dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim.
Bahang PRU-15 semakin panas setelah BN mengungguli PRN Johor semalam selepas meraih 40 kerusi yang menyaksikan melepasi majoriti dua pertiga, manakala PN mendapat tiga kerusi, DAP (9) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (1), Parti Amanah Negara (1) dan PKR (1).
Malam tadi, laungan ‘bubar Parlimen’ oleh penyokong BN bergema ketika Perdana Menteri berada di bangunan UMNO Johor ketika pengumuman kemenangan gabungan tersebut.
Ditanya adakah keputusan PRN Johor menjejaskan hubungan antara Kabinet Keluarga Malaysia, Ismail Sabri berkata, setiap ahli Kabinet Keluarga Malaysia adalah profesional.
“Waktu PRN Melaka sebelum ini pun kita bertembung, kita tidak bawa soal Kabinet di situ. Saya percaya apa yang berlaku di Johor kita tidak bawa dalam Kabinet.
“Kabinet adalah profesional sebab soal dasar dan kepentingan negara yang mana setiap keputusan kita buat secara bersama,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya berhubung memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Persekutuan yang akan berakhir pada 31 Julai ini, Ismail Sabri berkata, MoU itu belum pun tamat dan perlu menunggu sehingga ia berakhir. – UTUSAN