Program rumah ke rumah wajar dilakukan - Pakar

Dos penggalak: Program rumah ke rumah wajar dilakukan

SUNTIKAN dos penggalak perlu diambil warga emas. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program memberi suntikan dos penggalak kepada warga emas dari rumah ke rumah wajar dilakukan bagi memberi kemudahan kepada golongan tersebut mendapatkan suntikan tanpa membebani mereka.

Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kadar imunisasi bagi golongan warga emas akan menurun 30 hingga 50 peratus, jadi golongan tersebut perlu dipastikan mendapat dos penggalak.

Katanya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu menyediakan inventori menjejaki warga emas bagi membantu dan melancarkan program pemberian dos penggalak.

“JKKK sepatutnya mempunyai senarai berapa warga emas di dalam kampung tersebut dan di manakah golongan tersebut tinggal. Jadi boleh mengelakkan mereka daripada tercicir dalam mendapatkan dos penggalak.

“Jika kita nak harapkan warga emas sahaja datang, memang sukar disebabkan pelbagai faktor khususnya kesihatan. Selain membuat program dari rumah ke rumah, kerajaan boleh beri insentif pada keluarga yang membawa sebagai galakkan dan ganjaran pada mereka,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, klinik kesihatan dan persatuan komuniti perlu turun padang mencari serta mendekati kira-kira 350,000 warga emas yang menerima dua suntikan vaksin Sinovac untuk diberi dos penggalak.

Warga emas

Malah, Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movac) perlu digerakkan semula bagi membantu warga emas yang sukar bergerak atau sukar dihubungkan dengan pengangkutan awam bagi menerima vaksinasi berkenaan.

Dalam pada itu, Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Aisah Mokhtar berkata, penyelesaian tersebut tidak boleh digeneralisasi kepada semua.

Jelasnya, ia perlu mengikut keperluan dan keadaan warga emas tersebut, misalnya kawasan tersebut memang sukar untuk melakukan pergerakan keluar masuk yang mana Kementerian Kesihatan (KKM) boleh membawa PPV kepada penempatan tersebut.

“Jika tempat duduk mereka mudah melakukan pergerakan dan berdekatan dengan komuniti. Jadi menurut pandangan saya, cara terbaik adalah menyediakan fasiliti supaya golongan tersebut boleh datang sendiri,” ujarnya.

Tambahnya, terdapat penyebaran maklumat tidak tepat atau palsu diberi kepada warga emas hingga golongan tersebut tidak mahu mengambil suntikan penggalak yang mana situasi itu memerlukan saluran informasi bagi memastikan segala maklumat sampai kepada mereka. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya