ALOR SETAR: Pergerakan Pemuda UMNO meminta semua pihak berhenti membangkitkan isu kemungkinan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa negeri termasuk di Kedah selepas PRN Johor, Sabtu lalu.
Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, isu tersebut tidak sepatutnya dibincangkan lagi kerana tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) didapati semakin hampir.
“Tak perlu ribut-ribut kononnya PRN akan diadakan di negeri lain pula termasuk di Kedah. Dalam keadaan sekarang di mana kita sedang berusaha beralih ke fasa endemik Covid-19, tumpuan perlu diberikan kepada urusan berkaitan kesejahteraan rakyat.
“Tak perlu lagi ada ‘politiking’ di mana-mana. Kita berikan ruang kepada pemimpin sedia ada hingga tiba PRU-15 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Kembali Ke Sekolah anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Suka Menanti dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Mara di Suka Menanti di sini hari ini.
Pada majlis itu, Pengerusi JPKK Suka Menanti, Syed Abdul Hafiz Syed Mustafa menyampaikan sumbangan berupa beg sekolah dan kelengkapan sekolah kepada 100 pelajar di kampung tersebut.
Sebelum ini terdapat ura-ura bakal berlaku PRN di Kedah selepas PRN Melaka dan Johor.
Syed Johan yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar berkata, suasana politik di beberapa negeri lain ketika ini dilihat berbeza berbanding pelaksanaan PRN di Melaka dan Johor.
Jelasnya, PRN di Melaka dan Johor terpaksa diadakan kerana tidak memiliki kestabilan politik sehingga menjejaskan ekonomi negeri tersebut.
“Pada masa ini, di negeri-negeri lain nampak tak ada masalah setakat ini. Kalau tak ada keperluan, eloklah kita tunggu hingga PRU nanti untuk tentukan mandat di semua peringkat sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
“Kalau ada PRN lagi pun sekarang ini, itu membazir saja kerana PRU pun dah dekat. Eloklah kita tunggu saja hingga PRU dan laksanakan pilihan di peringkat negeri dan negara secara serentak,” katanya. – UTUSAN