JOHOR BAHRU: Proses pengundian awal melibatkan pegawai dan anggota Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bermula lancar walaupun dalam keadaan hujan renyai di Dewan Dato’ Onn, di sini sejak pukul 8 pagi tadi.
Mereka mengundi di dewan berkenaan melibatkan pegawai dan anggota yang bertugas di IPK Johor serta di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay juga melaksanakan tanggungjawab beliau dalam memilih wakil rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 9.30 pagi mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas menukar alamat mengundi di negeri ini ketika bergelar Ketua Polis Johor, sebelum berpindah ke Bukit Aman.
Secara keseluruhan, seramai 22,531 pengundi yang terdiri daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan mereka mengundi awal hari ini.
Ia turut melibatkan seramai 11,576 warga PDRM Johor yang akan mengundi di 63 pusat mengundi dengan 83 saluran disediakan.
Selain IPK Johor, premis-premis PDRM dan ATM seperti dewan-dewan IPD, kem-kem Pasukan Gerakan Am (PGA) dan kem-kem tentera antara lokasi anggota kedua-dua pasukan beruniform itu menunaikan tanggungjawab mereka. – UTUSAN