PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru seramai 2,539,606 orang pengundi biasa yang layak mengundi pada Sabtu ini untuk keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar yang turut meliputi sejumlah 21,407 pengundi awal dan 36,729 orang telah pun mengundi secara pos.
Beliau berkata, bagi pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian, disaran terus ke saluran mengundi yang ditetapkan dan membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi pada PRN Johor nanti.
Katanya, para pengundi boleh menyemak melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my, Aplikasi MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.
“Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat berikut iaitu pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” kataya dalam kenyataan hari ini.
Ikmalrudin berkata, melalui aplikasi MySPR Semak, maklumat Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan untuk setiap pengundi dinyatakan dan pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang atau waktu yang diwartakan di pusat mengundi masing-masing.
“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti.
“Para pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran,” katanya. – UTUSAN