ISKANDAR PUTERI: Parti-parti politik dan penyokong diminta sentiasa mengawal tingkah laku dan emosi sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor agar tidak terlibat dengan insiden tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, hal itu kerana sebarang kekecohan boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.
“Pada pukul 6 petang semalam, polis mengesan satu rakaman video tular membabitkan pertengkaran antara dua penyokong parti politik di daerah Iskandar Puteri.
“Namun sehingga kini tiada laporan polis berhubung kejadian berkenaan. Sehubungan itu polis menyeru saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai satu rakaman video yang membabitkan perselisihan politik pada PRN Johor.
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan dua pihak bertengkar akibat perselisihan faham yang berlaku disebabkan perbezaan fahaman parti politik.
Tambah Dzulkhairi, masyarakat diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dengan mengguna rakaman video yang ditularkan dalam insiden tersebut.
PRN Johor akan berlangsung pada Sabtu ini membabitkan 2.576 juta pengundi’
Undi awal
Sebelum itu, seramai 22,531 individu yang terdiri daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan akan mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Selasa ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 11,576 adalah warga PDRM Johor di seluruh negeri ini.
Beliau berkata, bagi memudahkan kesemua yang terlibat mengundi awal, sebanyak 63 pusat mengundi dengan 83 saluran akan disediakan.