KOTA KINABALU: Penglibatan kompleks membeli-belah bagi membenarkan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan memudahkan kanak-kanak mendapatkan vaksinasi Covid-19.
Pegawai Kesihatan Kawasan Daerah, Dr. Suhaila Osman berkata, dengan adanya PPV di kompleks beli-belah sekitar bandar raya ini akan membantu melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).
Beliau berkata, memandangkan pemberian vaksin melalui PICKids di Sabah masih rendah, begitu juga dengan daerah ini, pembukaan PPV di kompleks beli-belah ini diharap boleh membantu kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun mendapatkan suntikan vaksin.
“Pusat vaksinasi ini dibuka setiap hari sepanjang musim cuti sekolah ini jadi, ibu bapa yang membawa anak-anak membeli-belah boleh terus mendapatkan vaksin.
“Saya menggesa ibu bapa bertindak cepat membawa anak-anak mereka mendapatkan vaksinasi kerana apabila sekolah dibuka (21 Mac), kemungkinan dijangkiti sangat tinggi.
“Ibu bapa perlu memberi perlindungan kepada anak-anak dengan mendapatkan vaksinasi, sekarang ini adalah masa paling sesuai kerana vaksin mengambil masa dua minggu untuk bertindak,” katanya ketika sidang akhbar selepas Operasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP Bersepadu di sini hari ini.
Antara PPV kompleks beli-belah yang dibuka adalah di Imago, Centre Point Sabah dan 1Borneo Hypermall.
Suhaila berkata, berdasarkan analisis data yang dilakukan, bilangan kanak-kanak yang masuk unit rawatan rapi (ICU) meningkat kerana sebelum ini kanak-kanak tidak pernah menerima vaksin.
Malah katanya, kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah yang dijangkiti Omicron juga tinggi.
Menurutnya, hanya 14 peratus daripada kira-kira 60,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di daerah ini menerima vaksinasi dan jumlah itu masih rendah.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam daerah itu berkata, orang dewasa yang tidak menerima dos penggalak yang ditempatkan di ICU juga meningkat.
“Itu pentingnya pengambilan dos penggalak bagi mengelakkan kesan jangkitan yang teruk,” katanya. – UTUSAN