MUKAH: Polis Daerah Mukah menahan seorang peniaga wanita berusia 52 tahun dan merampas pelbagai jenama minuman keras dan rokok yang dipercayai tidak dibayar cukai kastamnya dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah di sini semalam.
Antara barangan yang dirampas adalah 36 kartun minuman keras pelbagai jenama dan 50 kartun rokok dengan nilai keseluruhan RM13,485.84.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendent Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan tersebut diketuai oleh seorang Inspektor polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah setelah mendapat maklumat daripada seorang pengadu yang merupakan seorang pegawai polis kanan di IPD Mukah.
Katanya, pasukan polis telah membuat pemeriksaan di sebuah rumah sarang burung walet di Jalan Tiong Hua di sini semalam pada jam lebih kurang 2.30 petang dan hasil pemeriksaan itu mereka mendapati terdapat tiga stor di situ termasuk sebuah yang berkunci.
Menurut beliau, pihak polis telah meminta wanita terbabit untuk datang membawa anak kunci untuk membuka pintu stor berkenaan.
“Wanita terbabit mengaku bahawa barang-barang yang ada di dalam stor tersebut adalah miliknya untuk dijual di daerah Mukah.
“Kesemua minuman keras dan rokok tersebut dirampas dan dibawa ke IPD Mukah kerana disyaki tidak dibayar cukai kastam, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Beliau berkata, sebab-sebab tangkapan telah dimaklumkan dalam Bahasa Malaysia kepada suspek dan difahami beliau.
Katanya, sesalinan borang hak-hak orang yang ditangkap sepertimana Seksyen 28A KPJ dan sesalinan borang penggeledahan sepertimana Seksyen 64A KPJ diserahkan kepada suspek setelah diterangkan, difahami dan ditandatangani oleh suspek.
Suspek, katanya juga gagal menunjukkan surat kastam dan lesen kebenaran menjual minuman keras dan mengaku barangan yang dirampas adalah miliknya.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan terhadap wanita berkenaan berhubung pembabitannya dalam kes tersebut.
Polis juga turut merakamkan percakapan pengadu dan ambil cap jarinya, manakala barang yang dirampas akan dirujuk ke Jabatan Kimia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. UTUSAN