KLUANG: Polis mengesan dua kejadian bendera milik PKR dibakar yang dipercayai angkara perbuatan khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab di sekitar Layang-Layang, di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, kejadian itu berlaku antara Jalan Puteri dan Jalan Melati, Taman Layang-layang dan di Jalan Kampung Paya ketika Unit Peronda Polis melakukan rondaan, namun tiada suspek dikesan.
“Tindakan tegas diambil ke atas pelaku yang didapati dengan sengaja tidak mematuhi undang-undang, menimbulkan kekacauan dan sebarang provokasi dl bawah undang-undang Kanun Keseksaan (Akta 574) dan di bawah Seksyen 24(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.
Kata beliau, perbuatan membakar bendera turut tergolong dalam kesalahan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak yang terlibat supaya mengawal tingkah laku penyokong masing-masing bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam.
Dalam pada itu, dalam kejadian berasingan, polis mengesan dua kes pemasangan kain rentang berdekatan kawasan sekolah di sekitar Kahang iaitu satu kes berdekatan Sekolah Agama Kampung Contoh dan satu lagi di Sekolah Kebangsaan Seri Lukut, di sini.
“Polis mengenal pasti petugas parti yang terlibat dan menasihati berkaitan syarat dan prosedur operasi standard (SOP) pemasangan bendera atau kain rentang hendaklah dalam jarak 50 meter dari pusat mengundi,” katanya.
Sementara itu, Hang Seng berkata, terdapat wakil parti politik didapati melakukan kesalahan mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran iaitu meletakkan khemah tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan menghalang laluan awam di Jalan Ibrahim, Paloh.
“Wakil parti politik telah membuka semula dua unit khemah yang dipasang oleh pihak berkenaan selepas menerima notis daripada MPK,” katanya. – UTUSAN