PADANG BESAR: Polis menjangkakan kemasukan besar-besaran pengembara warga Thailand ke negara ini melalui Pos Imigresen Wang Kelian di sini sempena pembukaan sempadan negara bermula esok.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, hasil tinjauan udara mendapati terdapat deretan kenderaan di sebelah Wang Prachan, Thailand yang bersempadan dengan Wang Kelian di negara ini.
“Kemasukan pengembara (Thailand) ini kita jangka semakin bertambah menjelang cuti hujung minggu dan kita lihat pengembara ini kebanyakan adalah mereka yang pernah bekerja di sini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dua tahun lalu.
“Jadi kita akan memperkukuhkan kawalan keselamatan bagi memastikan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penugasan sempena pembukaan sempadan Malaysia-Thailand di pintu sempadan Pos Imigresen Wang Kelian di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd. Noh Khamis.
Tambah Surina, kira-kira 50 pegawai dan anggota akan ditempatkan bagi mengawal sekitar kawasan sempadan Malaysia Thailand itu.
Selain itu katanya, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut menempatkan tambahan anggota seramai 50 orang dari Batalion tiga.
“Pihak berkuasa bersiap sedia menghadapi apa jua situasi dengan kawalan 24 jam. Walaupun Perlis negeri yang kecil, namun memiliki garisan sempadan antarabangsa darat dan laut yang luas. Sempadan Malaysia-Thailand melibatkan kira-kira 106 kilometer (km), yang berpagar kira-kira 75 km manakala yang selebihnya tidak berpagar, jadi kita terpaksa membuat kawalan sebaik mungkin.
“Begitu juga garisan sempadan laut kira-kira 21 km membuatkan PDRM menggunakan pelbagai cara termasuk bantuan PGA, Pasukan Gerakan Udara, unit berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan, komando VAT69 serta kerjasama agensi lain bagi mengawal sempadan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap pembukaan sempadan antarabangsa dapat mengurangkan kemasukan imigran tidak sah memandangkan dalam tempoh tiga bulan ini terdapat hampir 90 tangkapan pendatang asing tanpa izin yang melalui lorong tikus. – UTUSAN