GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran serta memproses dadah jenis heroin dan syabu yang aktif sejak Julai tahun lalu selepas menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan berasingan di Seberang Jaya, dekat sini 17 Mac lalu.
Selain penahanan suspek berusia 30 dan 41 tahun itu, polis turut membongkar makmal memproses dadah serta merampas 36 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM381,160 dalam operasi itu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, menerusi serbuan pertama di sebuah rumah jenis dua tingkat pukul 9 pagi, polis berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 30 tahun.
“Dalam serbuan itu, kita berjaya membongkar makmal memproses dadah heroin dan merampas 42 bungkusan dadah heroin seberat 18,540 gram, dua ketulan heroin base (745 gram), satu bungkusan dadah syabu (895 gram) dan satu bungkusan kafein (16,275 gram).
“Selain itu, turut dirampas adalah peralatan dan bahan kimia untuk memproses dadah heroin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurutnya, pada hari yang sama polis kemudian menyerbu sebuah rumah dua tingkat serta menahan seorang lagi lelaki 41 tahun yang disyaki ketua sindiket tersebut.
“Hasil risikian mendapati sindiket pengedaran dadah sindiket ini telah bergiat aktif sejak Julai tahun lalu untuk pasaran tempatan dan mereka
mendapatkan bekalan daripada rangkaian mereka sebelum memprosesnya,” katanya.
Tambah beliau, susulan penahanan dua lelaki yang tidak bekerja itu, polis merampas lima buah kenderaan bernilai RM259,500, barang kemas berjumlah RM2,340 dan menyita wang di dalam akaun bank sebanyak RM7,777.
“Mereka kini direman sehingga 24 Mac ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd. Shuhaily berkata, polis berjaya menumpaskan makmal mini memproses dadah selepas menahan seorang lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM110,385 dalam serbuan di sebuah rumah flat di Jelutong, di sini pada hari sama.
“Suspek berusia 32 tahun itu menjadikan rumah yang disewa sebagai makmal memproses dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) sejak bulan lalu.
“Dadah ini sering dicampurkan dalam minuman di kelab malam serta mendapat permintaan dalam kalangan mereka yang suka berhibur di pusat hiburan,” katanya.
Tambah beliau, dalam serbuan itu, polis merampas MDMA seberat 2,025.30 gram; syabu (53.7 gram); ketamin (16.5 gram); 45 biji pil ekstasi dan 40 biji pil erimin 5 yang kesemuanya bernilai RM110,385.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sejak Januari hingga 19 Mac lalu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.021 juta dan menyita harta serta wang milik pengedar dadah sebanyak RM4.096 juta.
“Sebanyak 2,773 orang berjaya ditahan dari Januari hingga 19 Mac lalu berbanding tempoh sama pada tahun lepas iaitu seramai 1,711 orang, peningkatan kira-kira 38 peratus.
“Bagi pecahan tangkapan tahun ini, kategori bekalan iaitu 647 orang, memiliki (1,470 orang) dan kategori urin pula seramai 656 orang,” katanya.
Katanya, dalam tempoh sama pihaknya telah menjalankan operasi tapis khas dan operasi sarang sebanyak 12 kali dengan tujuh sindiket yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di negeri berjaya ditumpaskan. –UTUSAN