JOHOR BAHRU: Tindakan parti dan gabungan politik selain Barisan Nasional (BN) yang tidak menamakan calon Menteri Besar mereka adalah kerana sudah tahu tidak mempunyai peluang untuk melakar kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hanya BN sahaja yang konsisten dalam menamakan calon Menteri Besar yang juga diangkat selaku ‘poster boy‘ parti itu.
Menurut beliau, sepatutnya parti politik yang berhasrat menubuhkan kerajaan negeri sudah menamakan calon mereka apatah lagi tempoh berkempen hanya berbaki kurang 24 jam.
“Dari awal lagi kita sudah menamakan siapa poster boy kita dan siapa yang akan kita lantik sebagai Menteri Besar, namun Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) masih belum berbuat demikian sehingga kini, itu tandanya mereka tahu tidak akan menang.
“PN pula banyak meletakkan poster Abah (Tan Sri Muhyiddin Yassin) secara besar-besaran, manakala poster calon pula kecil-kecil, buat apa letak gambar dia, dia tak bertanding pun dalam PRN Johor.
“Jika atas kapasiti Pengerusi PN, saya juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO, tetapi ada nampak ke gambar saya di mana-mana, tidak perlu kerana yang mahu diangkat adalah calon-calon,” katanya pada program ramah mesra di bilik gerakan MIC Johor, di sini.
Tambah Ahmad Zahid, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut ialah individu paling layak untuk memacu Johor menjadi sebuah negeri tumpuan khususnya melibatkan kemasukan pelabur.
“Dahulu ketika pentadbiran kerajaan BN, Johor menduduki tempat pertama dalam aspek kemasukan pelaburan asing, namun kini ia jatuh di kedudukan kelapan dan perkara itu perlu diperbetulkan.
“Hasni sejak dilantik sebagai Menteri Besar pada Mac 2020 melakukan banyak transformasi dalam ekonomi selepas terpaksa melakukan pembetulan disebabkan beberapa Menteri Besar terdahulu (era PH) gagal mengotakan janji mereka.
“Jadi apabila BN menang esok, kita akan pastikan ia sebuah kerajaan negeri yang stabil yang akan dapat mengembalikan keyakinan pelabur asing, mewujudkan banyak peluang kerja sekali gus memberi manfaat kepada semua khususnya orang muda,” katanya. – UTUSAN