PONTIAN: UMNO mengingatkan Perikatan Nasional (PN) agar tidak membolot semua kredit terhadap kejayaan kerajaan termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sehingga dijadikan bahan kempen mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, PN perlu berpada-pada untuk menuntut kejayaan itu kerana hakikatnya kumpulan menteri daripada UMNO yang bekerja keras menguruskan Covid-19.
“Contohnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan bertungkus-lumus dalam penjagaan prosedur operasi standard (SOP), setiap hari keluar televisyen.
“Selain itu, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang pernah dilantik sebagai Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (Menteri Sains Teknologi dan Inovasi) sebelum mereka bertukar portfolio dan tidak ketinggalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
“Semuanya adalah menteri UMNO yang buat kerja berat dan susah daripada jaga SOP sampailah Kesihatan dan Sains Teknologi. Malah, segala kelulusan kewangan di Dewan Rakyat juga majoritinya diluluskan ahli Parlimen daripada UMNO dengan jumlah yang terbesar.
“Mana ada menteri dari mereka yang buat kerja seberat dan seteruk itu. Jadi kena berpada-padalah dalam membuat sebarang dakwaan tentang jasa mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pemberian vaksinasi percuma tidak wajar dijadikan bahan kempen parti politik sempena PRN Johor.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menyifatkan cabaran debat Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung isu kerugian Felda sebagai membuang masa.
“Saya kira buang masa sahaja nak berdebat dengan Azmin, tiada faedah. Pergi main jauh-jauh,” katanya mengulas tindakan Mohamed Azmin mencabar Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dengannya mengenai isu Felda sebelum proses pengundian PRN Johor, Sabtu ini.
Mohamed Azmin membuat kenyataan mencabar Najib itu selepas Ceramah Umum Ikrar Demi Bangsa Johor di markas Pas kawasan Muar, cawangan Parit Pechah, malam tadi.
Mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu direhatkan disebabkan terlalu lama memerintah negara, Ahmad berkata, UMNO kerap membuat peremajaan terhadap parti terutama berkaitan perlembagaan.
“Saya pernah memberikan penambahbaikan UMNO (pinda perlembagaan) kepada Presiden Pas di atas pentas pada Perhimpunan UMNO yang lalu ketika Datuk Seri Zahid berucap mengenai dasar tapi dia hanya tengok sahaja.
Kita letak cita-cita agama Islam ada juga yang utama dalam perjuangan UMNO jadi saya kira mereka tak suka perkara ini kerana pada hemah mereka agaknya UMNO akan menjadi semakin baik dan Pas semakin tak disokong orang Melayu.
“Dengan Perlembagaan UMNO yang kita perbaiki, tuduhan Pas kepada UMNO semakin sukar untuk mereka buat tuduhan, jadi bagi saya Pas khuatir kewujudan dan suburnya UMNO di Johor akan melenyapkan parti mereka,” katanya. – UTUSAN