PETALING JAYA: Lima individu termasuk seorang Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dan pengubahan wang haram.
Antara yang ditahan juga merupakan sepasang suami isteri disyaki menjadi ‘orang dalam’ sindiket berkenaan.
Satu sumber memberitahu, penahanan kesemua suspek berusia antara 34 hingga 47 tahun itu dilakukan selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya di sini hari ini.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, kesemua mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan itu sejak 2015 hingga 2020.
“Anggota sindiket yang terdiri daripada pekerja teknikal dan kakitangan syarikat pembekal akan dituduh di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur esok membabitkan lebih 100 pertuduhan.
“Kelima-lima individu ini termasuk seorang wanita telah ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613),” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan.
Beliau berkata, pertuduhan adalah melibatkan aset-aset yang telah dimiliki iaitu hasil wang haram yang diperolehi daripada kegiatan sindiket seperti wang tunai, jam tangan mewah, kenderaan, tanah dan rumah.
“Kesemua mereka juga akan dituduh di mahkamah lain di beberapa negeri antaranya di Selangor, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka,” jelasnya.
Pada April tahun lalu, SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya melumpuhkan satu sindiket terbesar yang terbabit dalam pengeluaran PLKS palsu.
Sindiket pengeluaran PLKS palsu itu tumpas selepas lima individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur.
Operasi SPRM dengan kerjasama Imigresen turut merungkai kegiatan sindiket itu yang mengakibatkan ketirisan ratusan juta ringgit hasil kepada kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing.
Berikutan itu, sebanyak 147 akaun meliputi 30 individu dan 11 syarikat dengan nilai berjumlah RM9.98 juta dibekukan.
Selain itu, 30 unit hartanah dengan anggaran nilai berjumlah RM11.87 juta dan 66 kendaraan bernilai RM13.69 juta, disita serta dibekukan. – UTUSAN