PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) berjanji akan mengatasi kelemahan-kelemahan sedia ada dengan segera sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Majlis Presiden PH yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP) dan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO) mengakui beberapa kelemahan yang dihadapi PH, selain menerima keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Ini termasuk dalam isu pertandingan pelbagai penjuru oleh parti pembangkang sendiri, logo, peratusan keluar pengundi yang rendah, serta aspek penerangan dan komunikasi PH berhubung isu-isu semasa yang telah menyebabkan PH memenangi 12 kerusi.
“PH akan berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan ini dengan segera terutama dengan mengatur semula strategi bagi menghadapi PRU-15,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, Majlis Presiden PH menyifatkan, kelemahan-kelemahan tersebut tidak boleh diatasi oleh satu pihak atau satu kaedah, sebaliknya perlu diurus secara bersama dan menyeluruh.
“Oleh demikian, beberapa perkara akan dilaksana segera termasuk konvensyen dan pemukiman pimpinan PH untuk menggilap semula idealism perjuangan PH dan penyokong-penyokongnya serta membincangkan persiapan keseluruhan bagi menghadapi PRU-15,” katanya.
Pada masa sama, PH juga akan berusaha membina kerjasama dalam kalangan parti-parti pembangkang bagi menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15.
“Parti-parti pembangkang tidak harus bertanding hanya di kawasan PH yang akan mengurangkan undi PH lalu secara tidak langsung meningkatkan peluang kemenangan kepada BN,” katanya.
Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut menegaskan bahawa Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan pada mesyuarat Parlimen ini seperti mana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Pimpinan utama PH akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN