Petani rugi RM250,000, lebih 5,000 pokok pisang rosak dibadai ribut - Utusan Malaysia

Petani rugi RM250,000, lebih 5,000 pokok pisang rosak dibadai ribut

MD. Farick Omar melihat kebun pisang yang diusahakannya yang rosak akibat dilanda ribut di ZPM Lok Heng, Kota Tinggi di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang pengusaha kebun pisang di Zon Pengeluaran Makanan (ZPM) Lok Heng, di sini menanggung kerugian kira-kira RM250,000 selepas lebih 5,000 pokok pisangnya musnah akibat dilanda ribut, kelmarin.

Pengusaha tersebut, Md. Farick Omar berkata, tanaman pisang itu diusahakan sejak lebih dua tahun lalu di tanah seluas 40 ekar.

Katanya, lebih menyedihkan apabila pisang berangan dan pisang tanduk ditanam itu kebanyakan sudah berbuah dan boleh dipetik kira-kira sebulan lagi untuk dipasarkan.

“Ribut kuat yang melanda menyebabkan pokok pisang yang ditanam rosak seolah-olah patah seperti ditebang. Macam-macam kami lakukan untuk jaga kebun ini antaranya memasang pagar bagi mengelak haiwan perosak seperti babi, bina parit untuk elak gajah masuk tetapi pokok rosak juga bila dilanda ribut.

“Kami pun tak boleh buat apa kerana ini fenomena alam. Kejadian ini merupakan kali kedua pernah berlaku di mana kali pertama ketika kami menanam pokok nangka. Namun ketahanan pokok nangka amat kuat jadi tidak terjejas seperti pokok pisang ini,” katanya ketika ditemui di kebunnya di sini.

Kata Md. Farick, ribut yang melanda itu membuatkan dia perlu menyusun atur semula tanamannya untuk menyeimbangkan kembali tanaman tersebut dan pada masa sama mengharapkan pihak berkaitan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Pertanian dapat membantu dari segi input tanaman agar dapat meringankan beban.

“Ada kawasan yang kena ribut dan ada yang tidak, jadi kita kena susun balik sebab di sini kita guna sistem perpaipan, pokok besar dan kecil kena betulkan balik, dahulu sekata sekarang tidak seimbang bila berlaku ribut seperti ini.

“Setakat ini bagi tanaman pisang pasarannya amat bagus. Permintaan memang sentiasa ada, bila jadi seperti ini kita bimbang pengeluaran makanan untuk negara terjejas kerana ini adalah kawasan ZPM.

“Masa awal-awal kita telah laburkan kira-kira RM600,000 modal untuk buat tanaman pisang ini sekarang kita kerugian kira-kira RM250,000 jadi jika pihak berkaitan kalau dapat bantu dari segi input akan kurangkan kadar kerugian kami agar boleh bangkit semula,” katanya.

Katanya, ekoran kerosakan itu pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengerang dan juga Johor Bahru Timur juga telah melakukan lawatan meninjau keadaan kebunnya.

Jelasnya, apa yang berlaku akan membuatkan dia lebih peka pada masa depan dan perlu lebih inovatif serta kreatif antaranya berhubung dengan pihak meteorologi untuk mendapatkan maklumat awal sebagai persiapan sebarang kemungkinan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya