PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 semalam apabila merekodkan sebanyak 26,250 kes positif berbanding kelmarin, 32,800 kes sekali gus mengatasi 25,089 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, merekodkan penurunan 367 kes berbanding kelmarin, 380 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan penurunan kepada 211 kes berbanding kelmarin, 231 kes.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan penurunan dua kluster berbanding kelmarin, empat kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,875 kluster. Kluster aktif Covid-19 menurun kepada 395 kluster berbanding kelmarin, 405 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,480 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 177 kes daripada 26,250 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 26,073 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 177 kes kategori tiga, empat dan lima, 43 kes atau 24.29 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi 91 kes atau 51.41 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak. Sebanyak 43 kes atau 24.29 peratus telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 99 kes atau 55.93 peratus berusia 60 tahun dan ke atas, 77 kes atau 43.50 peratus mempunyai komorbid dan dua kes atau 1.13 peratus adalah ibu mengandung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan meningkat sebanyak 77 kes berbanding semalam, 76 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 33,720 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 23 daripada 77 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,018 kes. – UTUSAN