Permohonan kebenaran ibu tunggal cabar pengislaman anak didengar Mei

Permohonan kebenaran ibu tunggal cabar pengislaman anak didengar Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan ibu tunggal, Loh Siew Hong mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membatalkan pengislaman anak-anak kepada Loh Siew Hong akan didengar pada 17 Mei ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Menurut semakan pada sistem mahkamah, permohonan mendapatkan kebenaran itu akan didengar oleh Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Pada 25 Mac lalu, Siew Hong memfailkan permohonan semakan kehakiman tersebut dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Azri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Menurut permohonan yang difailkan, wanita itu antara lainnya memohon agar anak-anaknya, iaitu pasangan kembar berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan-akuan memeluk agama Islam kesemua kanak-kanak tersebut bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.

Siew Hong turut memohon deklarasi bahawa bekas suaminya, M. Nagahswaran tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya dan ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak mempunyai keupayan di sisi undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenaran daripada wanita terbabit.

Media sebelum ini melapor bahawa bahawa Nagahswaran yang telah memeluk agama Islam telah menukar agama anak-anak mereka pada Julai 2020 selepas berpisah dengan Siew Hong pada Mac 2019. Pasangan itu sah bercerai sekitar 2021.

Nagahswaran didakwa telah melarikan ketiga-tiga anak tersebut sebelum menempatkan mereka di sebuah pusat jagaan badan bukan kerajaan (NGO) walaupun Siew Hong mendapat hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap ketiga-tiga anaknya melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2021.

Nagahswaran kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan jenayah.

Selain itu, Siew Hong turut memohon Pendaftar Mualaf Negeri Perlis membatalkan kad memeluk agama Islam anak-anaknya itu dan memadamkan nama anak-anaknya daripada Daftar Mualaf Negeri Perlis 

Siew Hong turut memohon perintah injunksi bagi menghalang Mohd. Asri atau mana-mana pegawai, pekerja atas ejen Jabatan Mufti Negeri Perlis untuk membuat sebarang kenyataan yang secara jelas atau tersirat bahawa anak-anaknya itu merupakan mualaf atau beragama Islam.

Ibu tunggal itu turut memohon deklarasi bahawa Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak tanpa kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa adalah bertentangan dengan perlembagaan, tidak sah dan terbatal.

Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan tiga beradik yang sebelum ini diletakkan di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dikembalikan kepada Siew Hong serta-merta selepas membenarkan permohonan habeas corpus wanita itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya