JOHOR BAHRU: Biarpun melalui tempoh sukar selepas meraih keputusan mengecewakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan terbaharu di Johor, perjuangan PKR tidak akan mati begitu sahaja.
Bekas Pengerusi PKR Johor yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut menolak dakwaan bahawa parti itu sudah tidak ada masa depan lagi susulan keputusan terbabit.
Hassan berkata, PKR adalah parti reformasi dan berasaskan perjuangan dan tidak akan sekali-kali mengalah atau tunduk dengan kekalahan.
Katanya, PKR perlu bangkit dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menangani keadaan politik, ekonomi dan sosial semasa yang banyak berubah sekarang ini.
“Ada hikmah PKR kalah dalam beberapa PRN. PKR akan segera mempelajari, menilai dan menganalisis keadaan untuk bangkit kembali menjelang PRU15 dengan strategi ampuh.
“PKR masih antara blok politik terbesar di Parlimen dengan memiliki jumlah ahli parlimen yang ramai. Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi Ketua Pembangkang dan mengetuai Pakatan Harapan (PH),” katanya di sini, hari ini.
PRN Johor
Pada PRN Johor, PKR hanya meraih satu kerusi iaitu di Bukit Batu berbanding tujuh kerusi yang disandang pada PRU-14.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, orang luar PKR boleh mendesak supaya Anwar berundur setelah PKR dan PH kalah dalam tiga PRN tersebut, tetapi hanya anggota parti sahaja mempunyai hak dan keistimewaan jika mahu menjatuhkan beliau.
“Jika ada dalam kalangan anggota PKR merasakan Anwar sudah tidak lagi relevan, maka pemilihan parti pada April depan adalah masanya. Semua orang dalam PKR berhak mencabar Anwar sebagai calon Presiden.
“Tetapi masing-masing perlu cermin diri. Misalnya dalam PRN Johor yang baru berlalu ini, siapakah yang paling kuat berkempen untuk memenangi calon-calon PKR jika bukan Anwar,” jelasnya.
Katanya, Anwar tidak akan melepaskan tanggungjawab dengan mudah kerana beliau seorang pejuang yang tahu tugas serta mempunyai sejarah panjang dalam politik baik dalam kerajaan mahupun sebagai pembangkang.
“Jadi adalah satu kesilapan jika ada sesiapa menganggap Anwar sudah tidak lagi relevan dan PKR sudah tidak ada masa hadapan,” katanya.- UTUSAN