Percepat proses bantuan untuk rakyat - Utusan Malaysia

Percepat proses bantuan untuk rakyat

ZAMBRY Abd. Kadir ketika sesi perbahasan pada sidang DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan kelewatan sesetengah jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memproses permohonan bantuan rakyat membawa imej kurang menyenangkan kepada kerajaan negeri.

Menurut Zambry, rakyat berasa kecewa ekoran permohonan dan urusan mereka dengan pihak kerajaan serta PBT mengambil masa terlalu lama.

“Saya bukan bertujuan menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi elok setiap kali dalam sidang seperti ini kita mengingatkan supaya perkhidmatan yang kita berikan kepada rakyat hendaklah dilaksanakan dan dilangsaikan secepat mungkin bagi mengurangkan kesusahan dan penderitaan rakyat.

“Adalah malang sekiranya kita mendapati sebarang permohonan terpaksa diproses begitu lama,” katanya ketika sesi membahas usul menyembah ucapan tahniah serta menjunjung kasih atas penzahiran titah diraja Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Mesyuarat Pertama, Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di sini hari ini.

Pada perbahasan itu, Zambry turut berkongsi pengalaman yang dilaluinya apabila permohonan bantuan membina rumah bagi membantu sebuah keluarga tinggal di kediaman yang hampir runtuh pada 19 Mac tahun lalu masih belum dibina sehingga sekarang.

“Apabila saya kemukakan kepada pihak kerajaan, kerajaan meluluskan, tetapi dari segi aspek pelaksanaan sampai sekarang rumah itu tidak dapat dibina. Bayangkan mantan Menteri Besar Perak buat permohonan dan diluluskan tetapi tidak dapat dibina. Apatah lagi ADUN-ADUN biasa mahupun rakyat biasa,” katanya.

Beliau berkata, rentetan itu ramai rakyat datang kepada ADUN untuk mengadu mengenai permohonan bantuan mereka yang mengambil masa begitu lama.

“Saya seru kepada pihak bertanggungjawab, kita semua perlu bekerja sebagai satu pasukan. Walaupun kerajaan ada dasar yang baik tapi dari aspek pelaksanaan diambil mudah tidak peduli sama sekali akan beri kesan besar kepada kerajaan,” katanya.

Perkara yang dibahaskan oleh Zambry turut mendapat sokongan beberapa ADUN kerajaan serta pembangkang yang menghadapi masalah sama.

ADUN Kuala Sepetang, Mohd. Kamaruddin Abu Bakar turut menyuarakan permohonan membina sebuah surau di Kampung Hujung Matang, Taiping yang diluluskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad masih belum dibina walaupun sudah melebihi setahun.

“Bila perkara ini dibangkitkan, menyentuh hati saya tentang kelulusan menteri besar lalu, setahun lebih sudah, kelulusan untuk membina surau di Kampung Hujung Matang tetapi sehingga kini tidak dapat dilaksanakan.

“Saya tidak tahu apa yang terjadi dengan pejabat daerah dengan pihak-pihak tersebut, setahun lebih sudah lulus pembinaan surau tidak dapat dibina lagi,” katanya.

Sementara itu, ADUN Aulong, Nga Kor Ming turut menyuarakan permasalah yang sama dan mencadangkan agar kerajaan negeri mengeluarkan dasar baharu di mana semua permohonan kerajaan ditetapkan tempoh yang singkat.

“Keluarkan dasar baharu semua permohonan kerajaan dalam tempoh dua minggu sama ada (keputusan permohonan) lulus atau ditolak bukan duduk atas meja sampai tiga hingga enam bulan namun masih lagi tiada keputusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya