Perak kekal keputusan tidak bekal air ke Pulau Pinang

Perak kekal keputusan tidak bekal air ke Pulau Pinang

SAARANI  Mohamad (kiri) dan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid (kanan) memeriksa kawalan kehormatan pada Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-215 peringkat negeri Perak di Briged Utara PGA Ulu Kinta, Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perak kekal dengan pendirian tidak membekalkan air mentah kepada kerajaan Pulau Pinang menerusi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu dibuat susulan kajian Lembaga Air Perak (LAP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa air Sungai Perak hanya mencukupi bagi menampung keperluan negeri itu.

Katanya, empat empangan di Perak iaitu Temenggor, Bersia, Kenering dan Chenderoh pula adalah untuk kegunaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menjana elektrik bagi keperluan negara.

“Kalau air dari empangan itu diambil dan dibawa ke tempat lain, maka kapasiti air yang berkurangan akan menyebabkan turbin di empangan itu tidak berfungsi semaksimum mungkin.

“Ini bermakna, empangan akan menghasilkan tenaga elektrik yang jauh lebih rendah berbanding keperluan. Oleh sebab itu, kerajaan negeri dan TNB tidak setuju jika Pulau Pinang mahupun Perak sendiri mengambil air dari empangan berkenaan,” katanya.

Beliau ditemui  pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-215 peringkat negeri Perak di Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini hari ini.

Saarani berkata demikian ketika ditanya berhubung cadangan kerajaan untuk Perak, Pulau Pinang dan Kedah menyelesaikan secara baik berkaitan isu pembekalan air bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air bagi negeri-negeri di Utara Semenanjung menjelang tahun 2050.

Mengulas lanjut beliau berkata, cadangan Pulau Pinang untuk mengambil air di bawah Empangan Chenderoh dari Kuala Kangsar hingga Hilir Perak juga dilihat tidak boleh dilaksanakan kerana akan memberi kesan besar kepada penternak ikan sangkar di Parit, Kampung Gajah dan Teluk Intan.

“Di Perak ini, kita tiada masalah besar sebenarnya sebab kita mempunyai bekalan air. Kita ada sungai yang banyak dan Sungai Perak yang panjang. 

“Jadi, untuk kegunaan negeri ini, kita hanya perlu menyediakan terowong bagi memindahkan air dari Sungai Perak ke utara untuk kegunaan penduduk di daerah Kerian dan Larut Matang dan Selama. Begitu juga sungai lain seperti Sungai Kinta dan Sungai Bidor yang boleh digunakan untuk mereka di Perak Tengah dan selatan Perak,” katanya. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya